Ahad, April 26, 2009

Kekalkan kepimpinan Ulama


Menjelang Muktamar PAS yang akan berlangsung tak berapa lama lagi, nampaknya suasana telah mula panas dengan berbagai-bagai isu berbangkit dan yang paling panas adalah isu pertembungan idea dua tokoh paling berpengaruh dalam PAS iaitu Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am. Hamba mengikuti perkembangan isu 'kerajaan perpaduan' cetusan TG Presiden ini melalui pandangan dan komentar daripada para pimpinan baik Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Dikalangan pimpinan PR, ada yang menyokong cadangan ini dan ada yang menolak, yang terawal menolak cadangan ini ialah TG Mursyidul Am. Disinilah titik tolak bermulanya manipulasi dan propaganda yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana seolah-olah kedua-dua tokoh utama PAS ini mengisytiharkan 'perang' sedangkan umum tahu keakraban dan penghormatan yang diberikan antara satu sama lain. Hamba sedari awal tidak melihat isu ini sebagai suatu isu yang besar kerana kedua-dua 'tok guru' PAS ini adalah dikalangan ulama besar di Malaysia, punyai asas dan punyai hujah untuk mencadang atau menolak sesuatu tetapi malangnya yang membesar besarkan isu ini bukan sahaja dikalangan musuh didalam BN malah terdapat juga 'musuh dalam selimut'.

Dua pimpinan utama pemuda PAS, Ust. Nasruddin Tantawi dan Ust. Nik Abduh tidak ragu-ragu untuk menulis didalam blog mereka perihal wujudnya kelibat yang suka untuk melaga-lagakan pimpinan tertinggi PAS dan 'mereka' ini dilihat begitu bercita-cita besar setelah melihat Pakatan Rakyat berada dalam landasan yang betul untuk ke Putrajaya. Timbul satu persolan dalam benak fikiran hamba kenapa sekarang ini apabila terdapat perselisihan pendapat dikalangan pimpinan tertinggi PAS, pantas ia akan dibesar-besarkan sedangkan sedari dulu pimpinan PAS tidak pernah lekang dari berselisih pendapat. Satu perkara yang menarik perhatian hamba ialah petikan daripada Blog Ust. Nik Abduh yang menyentuh isu ini "Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH". Hamba yakin ungkapan ini dibuat bukan sekadar 'rasa-rasa' tetapi pasti ada asasnya tambahan pula beliau adalah orang yang paling rapat dengan TG Mursyidul Am. Apabila Ust. Nik Abduh menyebut tentang 'pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu', hamba secara peribadinya sudah terbayang siapa gerangannya tetapi hamba yakin TGNA lebih tahu yang mana intan yang mana kaca.

Namun apa yang penting untuk peringatan semua jamaah PAS, sebuah gerakan Islam perlu diterajui oleh pejuang Islam yang sejati, dan pejuang Islam yang sejati itu adalah dikalangan Ulama, maka kekalkan kepimpinan Ulama!

Baca selanjutnya...