Isnin, November 16, 2009

Biar kerajaan Kelantan urus royalti minyak


Najib diseru bersikap konsisten tangani isu royalti petroleum seperti kes Sabah dan Sarawak ."Hasrat baik boleh menyelesaikan banyak perkara. Dalam kes Kelantan, jika terdapat hasrat baik dari pihak kerajaan persekutuan, negeri itu akan dibenarkan mendapatkan royalti minyak dan gas. Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang paling miskin di negara ini dan royalti itu boleh membantu mengisi kantungnya. Ini bermakna, pada peringkat negeri, akan terdapat lebih wang untuk pembangunan.

"Buat masa sekarang, isu tersebut telah menjadi semakin rumit dari sudut politik, perundangan dan perlembagaan dan mungkin akan berakhir di mahkamah. Mengapa perlu jadi begitu? Bukankah jika Kelantan mendapat royalti, rakyat yang mendapat faedahnya?

Ayat-ayat di atas adalah daripada satu artikel yang pernah saya tulis sebulan yang lalu bertajuk "Let goodwill prevail" (3 Ogos 2009). Jadi, dengan kerajaan menganugerahkan Kelantan wang ihsan, hasil pengeluaran gas dan minyak di perairannya, adakah isu tersebut telah dikira selesai?

Sebelum saya menjawab soalan itu dan mengemukakan semula perkara-perkara yang pernah saya bangkitkan dalam artikel saya terdahulu, mari kita puji tindakan kerajaan membenarkan Kelantan menikmati faedah daripada sumber minyak dan gas yang dimilikinya bermula tahun hadapan. Ini bermakna, lebih banyak wang kini diperolehi untuk pembangunan di salah sebuah negeri yang paling miskin di negara ini. Justeru, majoriti ahli politik Umno Kelantan tentunya berasa terhutang budi.

Tetapi isu royalti minyak, yang menurut kerajaan Kelantan mereka berhak mendapatkannya, tidak akan mati begitu sahaja. Walaupun kerajaan negeri berasa sukacita kerana tuntutannya terhadap hasil petroleum yang diperolehi di perairannya akhirnya diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan, ia tidak akan menerima wang ikhsan. "Sama ada royalti atau tak payah," kata Dato' Husam Musa, jurucakap kerajaan negeri.

Kerajaan Kelantan yang turut menuntut bayaran tertunggak royalti berjumlah di antara RM800 juta dan RM1.7 bilion tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan persekutuan kerana menyekat hak yang sepatutnya mereka perolehi.

Majoriti rakyat Kelantan tidak merasakan perlu rasa terhutang budi kerana mereka percaya mereka berhak mendapatkan royalti yang dipertikaikan oleh kerajaan persekutuan. Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak berkata, menurut undang-undang, Kaelantan dan Terengganu boleh menuntut royalti minyak dan gas yang ditemui di perairan mereka - iaitu kawasan yang tidak lebih daripada tiga nautikal daripada pantai.

Kerumitan ini tidak wujud sewaktu Pertonas ditubuhkan dalam 1974 dan hanya berbangkit selepas 1999. Bapa Najib, Tun Abdul Razak menubuhkan syarikat minyak kebangsaan kerana beliau ingin membangunkan sumber hidrokarbon negara dengan cekap. Untuk melakukannya, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) diperkenalkan di mana Petronas menjadi pemilik eksklusif dan penjaga rizab minyak dan gas negara.

Sebagai balasan pemilikan dan hak di bawah perjanjian hak pemunyaan yang ditandatangani oleh semua negeri, Petronas akan memberikan wang tunai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di mana minyak dan gas komersil ditemui. Dalam terma yang mudah, 10% daripada pengeluaran kasar akan diambil bagi pembayaran royalti, yang akan dikongsi sama rata oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Sementara dokumen undang-undangnya mungkin lebih rumit, inilah pati kepada perjanjian 'gentleman' dan formula perkongsian pendapatan yang ditandatangani oleh Petronas, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Sarawak, yang merupakan negeri pengeluar minyak dan gas terbesar di negara ini tentu tidak akan bersetuju dengan perjanjian seperti ini tanpa jaminan perkongsian pendapatan. Tidak disebut soal peraturan tiga batu nautikal kerana saya fikir kerajaan negeri tentu sudah mengetahui bahawa minyak dan gas didapati di kawasan yang lebih jauh daripada itu.

Penubuhan Petronas dan perkongsian pendapatan merupakan contoh semangat Tun Razak untuk meningkatkan hungungan di antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri. Anak didiknya Tengku Razaleigh Hamzah, yang diamanahkan untuk menghasilkan PDA dan memperbadankan Petronas berkata, tidak perlu tindakan mahkamah kerana perkara itu jelas dan mudah.

Perjanjian yang ditandatanganinya bersama semua kerajaan negeri sewaktu beliau menjadi Pengerusi Petronas itu masih sama: 5 peratus royalti perlu diberikan walaupun minyak dan gas itu ditemui di dalam kawasan di bawah jurisdiksi persekutuan.

Jadi, dari 1974 hingga 1999, tidak berlaku pertikaian langsung dan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu menerima bayaran tunai atau royalti daripada Petronas duak kali setahun.

Tapi hal ini berubah dalam 1999 - tahun di mana PAS berjaya merampas Kerajaan Terengganu daripada Umno. Dengan anggaran RM1 bilion dalam bentuk royalti minyak, PAS yakin dapat menguruskan dana negeri dengan baik dan mula memansuhkan tol dan mengurangkan cukai pintu untuk faedah rakyat.

Selepas satu pembayaran sebanyak kira-kira RM432 juta, Petronas diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan - yang merupakan pemilik tunggal saham syarikat itu - supaya berhenti membayar royalti.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Umno tidak mengekalkan status quo. Tun Dr Mahathir telah mengubah pelan permainan dan mengisytiharkan bahawa kerajaan PAS tidak berhak mendapat royalti minyak. Alasan yang diberikan tidak terdapat klausa yang mengatakan bahawa royalti akan diberikan jika minyak dan gas ditemui lebih jauh daripada tiga batu nautikal.

Wang royalti, yang kini digelar wang ihsan, diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan disalurkan ke negeri itu melalui agensi persekutuan. Kerajaan PAS waktu itu telah menyaman kerajaan persekutuan dan kes sivil itu masih berada di mahkamah hari ini kerana kerajaan negeri, kini dikuasai Umno, masih belum menarik balik kes tersebut secara sah.

Ceritanya agak berbeza di Sabah dan Sarawak. Petronas terus membayar royalti minyak terus kepada perbendaharaan negeri dan syarat jauh tiga batu nautikal tidak terpakai kepada mereka. Kerajaan persekutuan memberi alasan bahawa kedua-dua negeri itu berhak mendapat royalti minyak kerana sumber hidrokarbon mereka ditemui sewaktu pemerintahan British lagi atau sebelum perjanjian ditandatangani.

Benar, sementara minyak pertama kali ditemui di Miri pada 1910, kawasan minyak dan gas di luar pantai ditemui agak terkemudian - dalam 1962 di Sarawak, 1971 di Sabah dan 1973 di Terengganu. Majoriti kawasan minyak dan gas di negeri itu ditemui selepas Petronas ditubuhkan pada 1974 dan hampir kesemuanya berada dalam zon ekonomi eksklusif di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Keadaan tidak konsisten ini tidak berakhir di situ. Tuntutan pendapatan minyak dan gas Kelantan dipertikaikan oleh kerajaan persekutuan kerana kawasan utama yang dibangunkan berada dalam kawasan perairan bertindih di antara Thailand dan Malaysia. Penandatangan bagi kawasan pembangunan bersama (JDA), yang terletak di luar perairan Kelantan dan Teluk Thailand adalah kerajaan Malaysia dan Thailand, Petronas, Pihak Berkuasa Petroleum Thailand dan syarikat minyak asing. JDA itu tidak melibatkan kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun, di satu kawasan bertindih yang lain melibatkan perairan Vietnam, Terengganu berhak mendapat bahagiannya daripada pendapatan tersebut. Kawasan ini dibangunkan di bawah perjanjian kawasan yang diperuntukkan untuk komersil (CAA), dan berbeza dengan JDA, kerajaan bukan sebagai penandatangan. Bahagian yang berhak diperolehi Terengganu ditandatangani oleh Petronas dengan syarikat minyak asing.

Jadi, walaupun berada dalam kawasan bertindih, masih terdapat cara untuk mendapatkan royalti, biarpun kerajaan negeri bukan penandatangan. Jika Malaysia dan Indionesia mengambil keputusan untuk bekerjasama membangunkan Ambalat yang dipertikaikan, sama ada melaui JDA atau CAA, Sabah sudah tentu akan mendapat royaltinya.

Akan berlaku kebangkitan politik di Sabah jika Kerajaan Persekutuan enggan. Perkara yang sama akan berlaku jika Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk menukar bayaran royalti dengan wang ihsan., jika sekiranya negeri itu diperintah oleh pembangkang.

Pengalaman buruk yang dialami Kerajaan PAS Terengganu berhubung wang ihsan merupakan satu lagi sebab mengapa kerajaan Kelantan mahukan wang itu masuk terus ke perbendaharaan negeri. Di Terengganu, pengurusan wang ihsan, tiada ketelusan dan ia menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan kelompok Umno dan juga Istana. Perbelanjaan tidak ditumpukan untuk membasmi kemiskinan - Terengganu masih menjadi salah sebuah negeri termiskin di negara ini - sebaliknya dana tersebut digunakan untuk membiayai projek mega dan membantu kelompok Umno tertentu.

Malah Menteri Besar sekarang, Datuo' Ahmad Said, disebut sebagai berkata bahawa sebagai ahli exco, beliau tidak tahu projek mana sebenarnya yang dibiayai oleh wang ihsan:

"Mereka gunakan wang kita. Apabila kementerian melaksanakan sesatu projek, ia dibuat atas kepentingan sendiri tanpa mempedulikan keperluan rakyat. Secara peribadi, saya tidak suka dengan beberapa projek yang dijalankan kerana kosnya yang mahal dan kurang relevan kepada rakyat. Buat masa sekarang, orang lain yang buat keputusan, bukan kami yang memerintah negeri ini."

"Mereka" dan "orang lain" itu dirujuk kepada mereka yang ada hubungan dengan Umno.

Disebabkan idea untuk mewujudkan dana khas milik negeri - Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) - tidak terlaksana, bahagian yang diperolehi daripada pendapatan minyak dan gas masih berada di tangan kerajaan persekutuan sebagai wang ihsan. TIA tidak kekal lama disebabkan idea untuk melabur dalam projek mahal seperti pelancongan tidak menepati keperluan segera negeri.

Najib berkata Kerajaan Kelantan akan diajak berunding mengenai projek-projek yang akan dijalankan dan wang akan disalurkan menerusi agensi persekutuan untuk membasmi kemiskinan. Tetapi jika Terengganu yang dikuasai Umno, masih menghadapi masalah dalam penyaluran wang ihsan, masalah kerumitan 'politik' mungkin lebih besar bakal dihadapi oleh kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS.

Untuk mengelak berlakunya pertelingkahan politik dan perundangan - yang tidak wujud sebelum wang ihsan diperkenalkan pada 2000 - biarkan semangat sebenar PDA kembali mekar di mana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mengeluarkan minyak berkongsi pendapatan hasil minyak dan gas dengan diuruskan oleh Petronas.

Bersikap konsistenlah semula. Dan biarkan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, seperti Sabah dan Sarawak menguruskan royalti minyak mereka sendiri.

Oleh AZAM ARIS
Editor Eksekutif The Edge
Terjemahan: MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

Tiada ulasan: