Rabu, Disember 30, 2009

Suami kena berazam jadi ketua keluarga terbaik


MASIH tidak terlambat untuk berazam sempena awal Muharam yang baru melewati beberapa hari dan 2010 esok hari. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memanjangkan usia di tahun baru bersama semangat dan keyakinan bahawa tiada yang boleh berubah melainkan jika kita berani memulakannya.


Masa berlalu pantas seperti tiada apa yang sempat kita rebut walaupun di awalnya kita berazam dengan pelbagai janji untuk diri sendiri. Sedar tak sedar, setahun masa berlalu dan kita masih tidak mengenal diri.

Mujur kita masih diberi waktu untuk memperbanyakkan amal dan bakti. Bala dan musibah masih belum cukup memberi peringatan kerana kita membutakan mata dan tulikan telinga daripada mengambil pengajaran.

Hakikatnya, jika tidak berani untuk berubah, tiada siapa yang boleh berhijrah. Sikap lalai dan cuai banyak memberi kerugian daripada laba yang diingini ramai. Pemimpin yang lalai daripada tanggungjawab boleh menggadaikan tanah air ke tangan asing dan menumbangkan struktur organisasi dibina dengan tonggak dan nilai murni.

Sebaliknya, kuasa dan wang ringgit menjadi taruhan sehingga sanggup meminggirkan agama dan bangsa. Pemimpin yang leka juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang utuh dengan persefahaman dan tolak ansur, menghilangkan rasa hormat daripada yang dipimpin.

Sifat memimpin tidak akan terbina tanpa ilmu dan akhlak, menyeru kebaikan dan mengingkari kejahatan adalah semata-mata kerana janji kepada Allah sebagai khalifah yang akan meneruskan kesinambungan 'khaira ummah'.

Tetapi sekiranya pemimpin itu sendiri melakukan kerosakan di muka bumi, sudah tentulah sukar untuk membina sebuah kehidupan yang baik dan harmoni kerana maksiat dan kejahatan kepada Yang Esa hanya menjanjikan kecelakaan ke seluruh alam.

Justeru, yang paling penting, pemimpin keluarga mengetuai satu unit masyarakat kecil perlu berani berubah seiring hijrah. Latihan kepemimpinan bermula dengan mengatur keperluan ahli keluarga dan menunaikan hak serta tanggungjawab boleh membantu ketua menjadi pemimpin yang diteladani.

Jangan malu dengan perkahwinan, biarlah dicela kerana tidak seperti pinang dibelah dua, asalkan agama dijunjung di kepala. Pernikahan bermula dengan dua insan saling menghormati dan mempercayai sehingga lahirnya cahaya mata menyinari segenap ceruk rumah tangga dengan cinta dan kasih sayang.

Tarbiah mereka dengan ilmu dan akhlak dipesan Rasulullah SAW serta sahabat supaya kelak mereka menjadi ibu bapa yang menyambung legasi kekasih Allah dan mendidik generasi baru seperti yang pernah mereka lalui.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah At Tahrim, ayat 6)

Jangan sesekali lalai dengan masa kerana itu merugikan ramai orang sehingga mereka terlambat. Di saat anak sudah mesra dengan maksiat, pemimpin keluarga baru hendak beringat, tetapi semuanya sudah terlambat.

Laporan remaja berzina di awal usia belasan tahun amat mengejutkan, mana mungkin itu terjadi jika pemimpin tidak cuai menjalankan tugas. Janin tidak berdosa di buang merata-rata adalah petanda ada sesuatu tidak kena dalam kepimpinan keluarga hari ini.

Pergaulan bebas bukan berlaku di kota tetapi juga di desa kecil yang warganya saling mengenali dan boleh berpesan sesama sendiri. Setiap pemimpin keluarga yang berada di bawah sinar telunjuk agama tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga walau sedetik pun.

Seorang penyair, Hithan bin Mu'alla berkata: "Sesungguhnya anak berada di sekitar kita. Mereka adalah jantung hati kita yang berjalan di atas bumi. Apabila angin menerpa mereka, nescaya mata kita tak mampu untuk terpejam."

Sempena tahun baru, setiap pemimpin keluarga harus menanam tekad dan hasrat membina 'rakyat' dalam rumah tangganya dengan akidah, akhlak dan muamalah diseru agama. Di saat pertama bergelar pemimpin keluarga, mulakan hidup baru bertunjangkan Islam.

Biar tidak berilmu atau sijil berjela, kesediaan bergelar suami dan menghulur mahar adalah petanda segala-galanya lengkap di dada. Untuk memimpin, membimbing dan meneraju sebuah rumah tangga adalah beratus kali payahnya daripada mengetuai diri sendiri.

Oleh itu, janganlah memandang enteng terhadap hidup berkeluarga jika tidak mampu menjadi suami yang paling baik terhadap isteri dan ayah paling dihormati oleh anak.

Oleh NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH
Baca selanjutnya...

Ahad, Disember 27, 2009

Polis tahan gadis pakai seluar ketat


BANDA ACEH - Seorang gadis yang hanya dikenali sebagai Yuli berjanji akan memakai pakaian bercirikan keislaman selepas dia ditahan oleh polis pencegah maksiat di sini baru-baru ini.


"Saya berjanji akan membeli pakaian yang lebih bercirikan keislaman," katanya yang ditahan ketika sedang menunggang motosikal.

Dia menunjukkan reaksi kesal semasa ditahan oleh seorang anggota polis lelaki.

Semasa ditahan, dia memakai seluar jean ketat dan blaus yang dianggap tidak mencerminkan pakaian Muslim.


Pasukan polis itu mempunyai 1,500 anggota termasuk 60 wanita.

Dalam operasi yang dilakukan polis itu, sebanyak 18 wanita ditahan kerana memakai pakaian terlalu ketat dan baju yang menunjukkan bentuk tubuh badan mereka.

Seramai tiga lelaki ditahan kerana memakai seluar pendek.

"Kita perlu menghormati undang-undang syariah yang telah diguna pakai oleh pemerintah wilayah dengan menetapkan wanita cuma boleh menunjukkan wajah dan tangan mereka," kata ketua polis maksiat itu, Hali Marzuki. - AFP
Baca selanjutnya...

Selasa, Disember 22, 2009

Enjin Jet F-5E: Hilang dalam sedar


Saya 'memandang tinggi' kenyataan yang dibuat oleh PM Dato Sri Najib Tun Razak apabila bertegas tidak akan sesekali menutup penyelewengan kes kehilangan enjin pesawat F-5E milik TUDM yang mana ianya bernilai kira-kira RM50 Juta pada tahun 2007.


"Ketika itu saya merupakan menteri yang bertanggungjawab (selaku Menteri Pertahanan) dan saya sendiri membuat keputusan bahawa kita sepatutnya melaporkan kepada polis"

Beliau juga turut memberitahu yang Kementerian Pertahanan dan TUDM langsung tidak menyembunyikan kes ini malahan terus menyerahkan perkara ini untuk tindakan polis sebaik sahaja mengetahui kehilangan komponen pesawat F-5E tersebut.

Kita sebenarnya amat menyanjungi dengan apa yang diperkatakan oleh Najib Razak apatah lagi dengan tindakan pantas beliau didalam hal ini. Adalah amat mengejutkan sebenarnya kerana mengetahui kehilangan enjin yang bernilai RM50 Juta ini begitu ‘mudah’ sekali berlaku seolah-olah pengawasan pada pertahanan negara kita amat mudah untuk di bolosi!

RM50 Juta teramat besar nilainya kepada orang seperti saya malahan juga rakyat negara ini keseluruhannya kerana bagi kita jangankan untuk memiliki RM50 Juta tersebut tetapi untuk ‘merasai’ walaupun RM1 Juta pun masih tidak mampu sehingga kini namun begitu tidak kepada orang-orang yang bersikap ‘tamak’ serta bersubahat didalam hal ini tanpa sedikit pun mengambil kira keselamatan Negara yang harus dijaga bersama.

Satu persoalan yang bermain dikepala kita rakyat Malaysia kini ialah kenapa perkara yang telah berlaku pada tahun 2007 ini hanyalah baru diketahui sehari dua apatah lagi menjelang sambutan tahun baru 2010 kira-kira 9 hari lagi? Apakah rahsia yang cuba ditutup daripada diketahui oleh awam kini sudah tidak mampu untuk ditutup lagi?

Apakah selama dua tahun lebih ini sejak ianya berlaku pada tahun 2007 langsung tidak diambil peduli untuk mencari atau menjalankan siasatan atau berusaha menjejaki siapa dalangnya serta kepada siapa ianya dijual dan kemanakah hasil jualan tersebut telah pergi?

Saya berfikiran positif dan memandang perkara ini sebagai suatu ‘kecuaian’ yang amat besar kerana ianya boleh berlaku didepan mata kita dalam keadaan ‘sedar’ dan secara tidak langsung menunjukkan kepada negara luar kehebatan slogan “Malaysia Boleh!” itu benar-benar telah menjiwai rakyat Malaysia kini sejak slogan tersebut diperkenalkan dan dipopularkan pada awal 90an dahulu.

Jangan jadikan kes kehilangan enjin sebagai satu bahan jenaka lawak rakyat Malaysia pula selepas ini apabila berkata;

"Apa hendak di hairankan sangat kalau setakat kabel-kabel di tepi jalan, papan-papan tanda serta penutup-penutup besi longkang boleh hilang (kerana tahap keselamatan menjaga barangan tersebut biasa saja) dan lagi pun berapa sen lah sangat kalau hendak dibandingkan kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM yang sah-sah dah RM50 Juta, itu pulak hilang ketika berada didalam kawalan 'keselamatan' yang cukup tinggi!"

Sebagai rakyat negara ini, saya memohon agar pihak kerajaan terutamanya TUDM serta Kementerian Pertahanan dapat menjalankan siasatan sehingga ke lubang cacing kepada mereka yang terlibat dan sudah tiba masanya kini segala aset-aset ketenteraan yang lain perlu dibuat sama bagi memastikan perkara penyelewengan serta kehilangan ini tidak akan berlaku lagi.

Oleh INGENIUR (http://ingeniur.blogspot.com)
Baca selanjutnya...

Isnin, Disember 21, 2009

Perhaps we should give Islamic governance a try


Remember the huge rally that was held in Kelantan on Dec 4, to show support for Tok Guru Nik Aziz's leadership? Did you notice the crowd? It was a truly Malaysian-type rally where huge crowds from every race in Kelantan came out despite the rain to show their support for TGNA. Have you ever wonder why Kelantanese love him so much?


Is there something that we miss to learn from the Islamic way that TGNA adopted to govern Kelantan for the last 20 years? Did you know that for 19 straight years, Kelantan government has recorded zero graft cases among its Excos and MBs? How is that possible in Kelantan, but not in other states that were being ruled by Barisan Nasional? Was this a specialty of Islamic governance where it can ensure God-fearing politicians to be incorruptible?

In 2004, TGNA held on as Menteri Besar Kelantan with only 1 seat majority. Yet, despite being such a fragile government, not a single ADUN was successfully bribed to jump ship to topple the PAS's government in Kelantan. Civil servants remained loyal to TGNA despite the razor thin majority he had for that 4 years. How could that possibly happen with such a powerful Barisan Nasional government we had in 2004; while it could happen to Perak with such a comparatively weaker Barisan Nasional government in 2009? Or is this one of the good effect coming from Islamic governance?

Why are the Chinese and the Indian in Kelantan still happily give their backing to TGNA despite the absence of the 4D gambling shops, lack of entertainment outlets and some restriction on liquor sale in certain areas of Kelantan? What is it in there for them to be happy? Is there something we don't understand about the quality of life they are getting under TGNA's Islamic way of governing? Or is it because they feel that life and opportunities are fairer there compared to other states in Malaysia?

And do you realize that Tun Dr Mahathir defeated almost every political enemy of his time during his 22 years as Prime Minister but one? Yes, he lost to TGNA! In fact he lost to TGNA for 3 subsequent terms! TGNA's Islamic way of governing Kelantan had defeated Tun Dr Mahathir despite being the poorest state in Peninsular Malaysia and being continuously victimized by the BN federal government.

In a recently concluded interview with Malaysiakini, TGNA said PAS will continue to fight for hudud and Islamic laws to be implemented on Earth. The surprising thing about the interview was; there was no big public woo-haa over the matter like in the past. Nowadays whenever TGNA speaks of Islam, everyone listens attentively because he talks sense and he can relate Islamic teachings to our daily life.

Fewer people are feeling less comfortable with it because, now he had something to proof about the Islamic governance in Kelantan. As a person, his integrity is unmatched. He had gained the respect of the people after more and more good things about Kelantan were being exposed to the public.

TGNA has shown us through Kelantan that Islamic governance is the more suitable way of governing a plural society like us. Despite after years of Internet-less period being brain-washed by BN through media attacks on TGNA's Kelantan, non-Muslims are beginning to believe that Islamic governance is not as fearful as what they had thought over these years. In fact, now they are starting to appreciate and see from their own eyes that Islamic governance in Kelantan is way better and fairer than the racism way practiced by the Barisan Nasional government.

Pakatan's states especially Selangor, Kedah and Penang is always rocked by endless news of corruptions, abuse of power, racist stunts, Excos' disunity, jumping frogs and open bickering. Moving forward, they should seriously start learning and adopting something from TGNA's Islamic way of governing Kelantan to achieve zero corruptions on its Excos and MBs, maintain loyalty of civil servants and continuously enhancing the stability and unity between the rakyat and the state-government.

As TGNA said in his interview with Malaysiakini, "we have been exposed (probably being exposed too much) to democracy, socialism, nationalism and communism but not to Islam... Non-Muslim Malaysians should stop being afraid of Islam or being influenced too much by the western stereotype of Islam - that it is about terrorism and that it does not bring development and is backward." Hmmm, maybe he is right... Perhaps we should give his Islamic way of governing a try....

What say you?

By LI FOOK GAO
(Li Fook Gao thinks Islam is a beautiful religion)
Baca selanjutnya...

Ahad, Disember 13, 2009

3 jam di alam perkahwinan, berpindah ke alam barzakh


"Takziah kepada Teh Afiffah dan keluarga serta keluarga suaminya Mohd Arif atas tragedi kemalangan suaminya yang baru sahaja selesai akad nikah di paginya dan menemui ajal di tengaharinya. ‘Azzamallahuajrakum‘ (moga Allah membesarkan pahala kamu semua). Tragedi tiada dipinta, kemalangan tidak pernah disangka, tangisan menggantikan ketawa, namun takdir mengatasi segalanya".

Pengajaran buat semua ialah bukan sukar untuk berpindah dari sebuah alam ke alam lain. Dari alam bujang ke alam perkahwinan mengambil masa beberapa saat melalui lafaz akad nikah. Dan demikianlah juga dari alam perkahwinan di alam dunia ke alam barzakh, hanya beberapa saat sahaja.

Dengan kata lain, kematian cukup hampir kepada kita. Tetapi kematian itulah yang kita abai dan lalaikan. Lalai bahawa apabila berpindah sahaja ke alam barzakh, senang dan susah akan ditempuh dengan sebenar. Lalai dari membawa bekalan yang cukup. Lalai bahawa bila-bila masa Allah boleh ambil nyawa. Lalai dan terus lalai…

Cuba bayangkan, dalam keadaan asyik 'Sehati Berdansa', silap angkat isteri, tergeliat urat lalu terjatuh. Masuk wad lalu mati. Apa nak kata?

Cuba bayangkan, dalam keadaan terkinja-kinja Konsert 'Akademi Fantasia', penyanyi atau penonton, tiba-tiba kena darah tinggi, pengsan lalu mati dalam keadaan begitu, apa nak kata?

Cuba bayangkan seperti dalam sebuah kelab malam yang terbakar, sedang tunggang arak, berhibur, jantan betina bercampur, tiba-tiba kelab malam terbakar lalu mati dalam keadaan demikian, apa nak kata?

Contoh-contoh ini tiada kaitan langsung dengan cerita pengantin di atas. Cuma ia hanya menggambarkan betapa kematian itu memang tidak dapat disangka. Perpindahan ke alam barzakh bukanlah sesuatu yang boleh dijangka, tetapi insyaAllah ia tidak akan menjadi tragedi bagi orang mukmin yang tabah, sabar serta sudah bersedia membawa bekal ke sana.

Oleh UST NIK
Baca selanjutnya...

Sabtu, Disember 12, 2009

Jadikanlah Taubat Amalan Rutin


"Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya, sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah Al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa.

Malah Allah Al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat Al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan Al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT

“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:

"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;

Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang banyak mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya ;

1. Berwuduk

Rasulullah saw bersabda : “Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dasa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya.” (Imam Muslim)

2. Solat fardu, solat Jumaat dan Puasa Bulan Ramadan.

Rasulullah saw bersabda :

"Salat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari." (Imam Muslim)

3. Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura' (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”( Imam Muslim )

4. Tasbih, tahmid dan takbir

Sabda Rasulullah saw : “ Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir ( 33x) di akhiri dengan ucapan Laa ila ha illa Allah….. maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. ( Imam Muslim)

Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagai mana pendapat Imam al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.

Begitulah perancangan Allah yang bersifat Al-Hakim ( Maha Bijaksana ) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Solat fardu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.

Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.

Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita perputus asa dengan keampunan Allah SWT . Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.

Oleh ABU AQIL ADNAN ISHAK
Baca selanjutnya...

Jumaat, Disember 11, 2009

Ramai Ummah Alpa Keberkatan Jumaat


Banyak kelebihan, keistimewaan dikurniakan pada penghulu segala hari

MUTAKHIR ini ramai di kalangan kita yang alpa dengan kelebihan dan keberkatan Jumaat. Ada sebahagian masjid yang menjadi tumpuan umat Islam mendirikan fardu Jumaat kelihatan lengang, meskipun waktu solat sudah hampir tiba.

Hanya kira-kira 10 minit sebelum azan berkumandang, orang mula datang berduyun-duyun ke masjid. Itupun ramai hanya berlegar-legar di persekitaran masjid, tidak berlumba-lumba untuk mencari saf hadapan, membaca al-Quran, beriktikaf atau mencari keberkatan datang awal.

Bagi sesetengah wanita yang bekerja pula, Jumaat (waktu rehat) selalunya digunakan untuk membeli belah, bukannya mengadakan kuliah atau mengikuti khutbah di televisyen.

Fenomena ini menunjukkan kita sudah semakin lupa dengan kelebihan dan keberkatan yang ada pada Jumaat. Kita mungkin tidak sedar bahawa Jumaat adalah penghulu segala hari, yang mempunyai banyak kelebihan antaranya:

- Pada Jumaat, Allah menjadikan Nabi Adam (manusia pertama).
- Jumaat adalah hari paling mustajab bagi mukmin yang berdoa. Allah akan memakbulkan doanya, selama ia tidak meminta perkara yang haram.
- Pada Jumaat akan berlakunya kiamat.
- Jumaat adalah besar disisi Allah bahkan lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW membicarakan mengenai Jumaat dan Baginda berkata: Padanya ada suatu saat yang tidak ditemui oleh hamba (Allah ) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonkan akan diberi kepadanya (ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkat).” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan adanya saat yang paling mustajab pada hari Jumaat, di mana segala permohonan akan dimakbulkan dengan izin Allah . Malah, ulama berselisih pendapat mengenai bilakah saat yang dimaksudkan itu.

Ada berpendapat sesudah terbit matahari syuruk dan ada yang mengatakan sesudah gelincir matahari (zuhur atau Jumaat). Malah ada yang mengatakan sesudah waktu Asar dan selain waktu itu.

Bagaimanapun ada hadis sahih mengatakan saat mustajab itu bermula dari khatib berada di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Daripada Abu Al-Asya’ari, ia berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saat mustajab itu adalah antara imam duduk di atas mimbar, sampai ia salam daripada solat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Jelas menunjukkan bahawa ketika khatib berada di atas mimbar dan berkhutbah adalah antara waktu yang penuh berkat. Kerana ketika itu segala hidayah Allah disalurkan melalui mimbar. Ilmu dan nasihat agama disampaikan sebagai panduan untuk sekalian.

Khatib sering mengingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah , mentaati titah perintahnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Khutbah yang baik dapat memupuk kesedaran dan ketaatan kepada Allah , memberi motivasi dan pedoman berfaedah ke arah membina kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Justeru, kita dituntut datang awal ke masjid, membersihkan rohani dan menyiapkan diri untuk mendengar khutbah. Kita digalakkan berada di saf hadapan, kerana lebih hampir dengan mimbar yang menjadi saluran hidayah Allah .

Khatib pula perlu lebih bersedia sebelum berkhutbah dengan membuat semakan terhadap teks yang disediakan. Khatib juga perlu membuat rujukan dan pembacaan tambahan supaya khutbah yang disampaikan benar-benar menarik, berkesan dan bersesuaian dengan tuntutan zaman.

Selepas selesai solat Jumaat, bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki dan menyelesaikan urusan hidup. Bukannya dengan duduk di masjid berjam-jam, sehingga kadangkala kereta yang diletakkan di tengah-tengah jalan (kerana lewat datang) di biarkan melintang di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas. Ini tentu menyusahkan orang ramai.

Oleh itu, datanglah seberapa awal ke masjid untuk memenuhi saf hadapan dan segeralah pulang apabila solat atau doa selesai agar segala urusan dapat dibereskan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, apabila kamu diseru untuk mengerjakan fardu Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati Allah dan tinggalkan urusan jual beli.” - (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

Oleh HASSAN ADLI
Baca selanjutnya...