Ahad, Disember 13, 2009

3 jam di alam perkahwinan, berpindah ke alam barzakh


"Takziah kepada Teh Afiffah dan keluarga serta keluarga suaminya Mohd Arif atas tragedi kemalangan suaminya yang baru sahaja selesai akad nikah di paginya dan menemui ajal di tengaharinya. ‘Azzamallahuajrakum‘ (moga Allah membesarkan pahala kamu semua). Tragedi tiada dipinta, kemalangan tidak pernah disangka, tangisan menggantikan ketawa, namun takdir mengatasi segalanya".

Pengajaran buat semua ialah bukan sukar untuk berpindah dari sebuah alam ke alam lain. Dari alam bujang ke alam perkahwinan mengambil masa beberapa saat melalui lafaz akad nikah. Dan demikianlah juga dari alam perkahwinan di alam dunia ke alam barzakh, hanya beberapa saat sahaja.

Dengan kata lain, kematian cukup hampir kepada kita. Tetapi kematian itulah yang kita abai dan lalaikan. Lalai bahawa apabila berpindah sahaja ke alam barzakh, senang dan susah akan ditempuh dengan sebenar. Lalai dari membawa bekalan yang cukup. Lalai bahawa bila-bila masa Allah boleh ambil nyawa. Lalai dan terus lalai…

Cuba bayangkan, dalam keadaan asyik 'Sehati Berdansa', silap angkat isteri, tergeliat urat lalu terjatuh. Masuk wad lalu mati. Apa nak kata?

Cuba bayangkan, dalam keadaan terkinja-kinja Konsert 'Akademi Fantasia', penyanyi atau penonton, tiba-tiba kena darah tinggi, pengsan lalu mati dalam keadaan begitu, apa nak kata?

Cuba bayangkan seperti dalam sebuah kelab malam yang terbakar, sedang tunggang arak, berhibur, jantan betina bercampur, tiba-tiba kelab malam terbakar lalu mati dalam keadaan demikian, apa nak kata?

Contoh-contoh ini tiada kaitan langsung dengan cerita pengantin di atas. Cuma ia hanya menggambarkan betapa kematian itu memang tidak dapat disangka. Perpindahan ke alam barzakh bukanlah sesuatu yang boleh dijangka, tetapi insyaAllah ia tidak akan menjadi tragedi bagi orang mukmin yang tabah, sabar serta sudah bersedia membawa bekal ke sana.

Oleh UST NIK

Tiada ulasan: