Jumaat, Julai 23, 2010

Bagai Subuh Isnin yang terakhir....


CATATAN pengalaman saya menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass operation) dibuat sekadar mahu berkongsi rasa, di samping menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, serta cuba mengambil iktibar positif dari setiap takah-takah kehidupan (bukankah kita diminta merenung pengajaran walaupun hanya tertusuk duri yang kecil), jauh sekali daripada niat sengaja mengangkat episod personal. Memang rakaman ini terasa sukar sekali, ya ... dalam keadaan serba-salah dibimbangi menyelinap keegoan atau niat mengangkat diri, sedangkan motifnya demi manfaat bersama.

Seringkali ada cebisan memori yang dilihat kecil oleh seseorang tetapi mampu mendorong satu perasaan luar biasa oleh individu yang lain.

KEMATIAN

Lagipun, bagi saya, apa jua yang dapat mengingatkan kita tentang kematian (dan memberi keinsafan), usah dipersiakan. Bukankah Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati." Maksud firman Allah: "Tiap-tiap yang bernyawa akjan merasai mati" (ali-Imran: 185 dan al-Ankabut: 57).

Baginda turut berpesan bahawa Mukmin yang paling beruntung dan bijak ialah ereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Justeru, agak kerap juga saya menukilkan kisah kematian yang paling hampir dengan diri, misalnya pemergian secara tiba-tiba puteri tercinta, Nurul Syafiqah, 11 tahun, pada awal pagi 1 Ramadan 2005 (akhbar Siasah), juga kehilangan bonda tersayang, Aishah Megat Hamzah, 11 tahun lalu (majalah Detik). Syafiqah pergi di depan mata kami sekeluarga, manakala khabar duka tentang ibu dikejutkan melalui telefon menjelang subuh.

Difahamkan ramai meninggal dunia apabila mendapat serangan jantung buat kali pertama. Sebahagiannya langsung tidak didahului oleh tanda-tanda awal. Diri sendiri pun tidak menyedari dihimpit risiko arteri tersumbat dan degupan jantung terhenti.

Ada rakan yang kelihatan segar-bugar, aktif bersukan, tiba-tiba dimaklumkan telah dikejarkan ke hospital selepas bermain futsal dan pulang ke rahmatullah dalam perjalanan.

Maut memang mengintai di mana-mana. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa bersiapa siaga untuk menemui Ilahi dan diberi kesempatan (dan kesedaran) untuk menambah bekalan, selain bertaubat nasuha.

MENYEGERAKAN TAUBAT

Dalam kitab "Ensiklopedia Kematian", karya Imam Al-Qurtubi, disebutkan bahawa ciri-ciri orang yang selalu mengingati mati adalah menyegerakan taubat, rendah diri dan rajin beribadah. Sementara ciri-ciri orang yang tidak mengingati mati adalah menangguhkan taubat, tidak ikhlas dengan pemberiannya dan malas beribadah.

Setiap kita pasti ada pengalaman tersendiri diberi "peluang kedua" hidup mengabdikan diri setulusnya, merasai kemanisan beribadah, khusyuk di hening pagi bermunajat, berdoa, "membuat janji baru" dengan Tuhan.

Namun, begitulah kelemahan insan ... keinsafan mudah hilang seperti juga ia kerap kali muncul secara drastik. Ia membekas hanya seketika, tidak mampu membentuk personaliti lebih unggul, dan kembali sombong-angkuh-lalai.

Ahad, 25 April, saya diberitahu bahawa pakar perunding bedah jantung, Prof Madya Dr Mohd Zamrin Dimon akan mengetuai team pembedahan awal pagi esoknya. (Sebelum itu, dijangka Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, yang saya kenali lebih awal, tiga tahun lalu).

Ternyata perwatakan Dr Zamrin cukup menyenangkan. Ketika berbicara beliau memandang tepat wajah pesakit, memberi ruang cukup selesa untuk saya bertanyakan apa jua keraguan. Senyumannya sentiasa menguntum.

Memang banyak yang berselirat dalam fikiran saya. Ia tidak lari daripada membayangkan entah apa risiko yang bakal menyusul. Alhamdulillah, sejak masuk wad tiga hari sebelum itu saya banyak melatih diri untuk pasrah, bertawakal dan bersedia menerima kemungkinan solat Subuh Isnin, 26 April adalah yang terakhir buat hamba yang menimbun dosa ini. Pergi tidak kembali ...

"SAYA PUN TAKUT ..."

"Ada apa lagi yang nak tanya?" Tanya Dr Zamrin selepas melihat saya agak diam. "Tak ada apa-apa," jawab saya, masih menyimpan debar.

"Lutfi takut Dr," pintas isteri saya, Siti Hawa. "Kalau saya di tempat dia pun saya takut," segera Dr Zamrin membalas sambil tersenyum. (Beliau berpengalaman lebih 10 tahun "membuka jantung" sekitar 1,500 pesakit yang dibedahnya, setiap tiga hari dalam seminggu tugasnya di bilik bedah).

Tidak perlu dinafikan, itulah perasaan yang sukar diredakan, "takut" ... tetapi pantas disusuli dengan "harap". Takut dengan pelbagai risiko "bypass". Meskipun mungkin hanya sekitar tujuh peratus gagal (mati), tetapi jika menimpa kita, ia "adalah 100 peratus gagal"!Namun harapan tetap menggunung, mengharapkan kasih sayang Allah yang tidak bertepi itu.

Sebenarnya semasa menunggu "takdir", saya lebih suka menyendiri. Masa terlalu berharga. Selain isteri di bilik no 3 Wad Sutera, saya mengharapkan tidak ramai tetamu yang menziarahi. Alhamdulillah, tiap detik berlalu (kiraan waktu bukan lagi hari atau jam, tetapi minit dan saat) saya cuba manfaatkan sebaiknya.

Sebaik mendapat "arahan" supaya "bypass", dua minggu sebelum itu, segera saya menghubungi ustaz-ustaz yang saya kenal agar dapat dititipkan "panduan praktikal menghadapi kematian".

Ada yang terkejut dengan permintaan saya. Rakan sekerja menitis air mata. "Saya anggap inilah masa berbaki yang ada. Kalau Allah panjangkan umur, itu bonus," SMS saya buat seorang teman.

MERENTASI ALAM BARZAKH

Saya cuba hubungi Dr Musa Fathullah Harun, pengarang "Perjalanan Rabbani: Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat". Beliau pernah menjadi guru saya di UTM, Jalan Semarak, sekitar 1980-an dulu.

Semasa mengendalikan akhbar Siasah, saya menjemput Dr Musa mengisi ruangan soal jawab agama. Di samping berhasrat mendapatkan nasihat terakhir daripadanya, saya cukup tertarik dengan huraian dalam kitab setebal 720 halaman itu, terutama tentang sakratul maut dan himpitan kubur. Ia agak berbeda dengan peringatan tentang kematian dalam "Ihya Ulumiddin".

Maksud firman Allah, al-Fajr, ayat 27-30: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Begitu juga maksud sabda Nabi s.a.w., yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a: "Dan jadikanlah maut itu sebagai kerehatan bagi daripada segala keburukan."

Selepas kematian anak saya, Nurul Syafiqah, hampir 100 buah kitab berkenaan saya hadiahkan kepada kawan-kawan, bersama terjemahan al-Quran, "Pimpinan Ar-Rahman". Dalam kitab itu, Dr Musa menukilkan pelbagai hujah dan dalil bahawa kematian bagi orang Mukmin tidaklah menyakitkan seperti orang kafir atau yang derhaka kepada Allah.

"Hadis yang menggambarkan kesengsaraan dan azab luar biasa yang dihadapi orang Mukmin ketika dicabut nyawa adalah daif, batil dan ada yang palsu serta bercanggah dengan firman Allah," tulisannya dipetik.

Malang sekali saya gagal mendapatkan amanat Dr Musa, namun kitabnya menjadi bacaan wajib, terutama bab amalan harian Rabbani, sepanjang tempoh kritikal menunggu pembedahan, di samping "Pimpinan Ar-Rahman".

Selain itu, "Ensiklopedia Kematian" dan 10 jilid "Tafsir Ibn Kathir" menjadi teman sekatil. Dalam menafsirkan surah Alam Nasyrah, ayat kelima dan keenam, dinukilkan dalam yafsir itu bahawa kalimat kesulitan (al-'usr) dalam bentuk tunggal (mufrad) tetapi kalimat kemudahan (al-yusr) dalam bentuk tidak ada ketentuannya (nakirah),sehingga Nabi bersabda, "satu kesulitan itu tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan".

Surah-surah tentang pemantapan aqidah dan huru-hara kiamat menjadi pilihan. Ingatan seorang jemaah Afrika di Masjid Nabi dua tahun lalu sentiasa mengingatkan saya agar jangan meninggalkan bacaan Al-Kahfi setiap Jumaat, selain melazimi diri dengan Al-Hasyr setiap pagi dan petang.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Mu'qil bin Yasar, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barangsiapa ketika bangun pagi mengucapkan tiga kali, 'A'uudzu billaahis Sami'il 'Aliim minasy syaitaanir rajiim (aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk), lalu membaca tiga ayat dari akhir surah al-Hasyr, maka Allah menugaskan kepadanya tujuh puluh ribu malaikat untuk mendoakannya hingga sore hari. Dan jika ia meninggal pada hari itu, maka ia wafat sebagai syahid. Dan barangsiapa mengucapkanya pada sore hari, maka ia juga mendapatkan kedudukan yang sama."

BUKU-BUKU BERPENGARUH

Saya menyelak kembali buku-buku yang amat berpengaruh di waktu mahasiswa dulu, misalnya "Petunjuk Sepanjang Jalan", tulisan Syed Qutb dan karya-karya ulama haraki Hassan Al-Banna dan Maududi. Seorang teman menunjukkan buku "Pahala Hidup 7000 Tahun!" Menyedari tugas saya di Harakah, beliau merujuk petikan hadis, yang maksudnya: "Jika aku berjalan bersama saudaraku untuk membantu menyelesaikan hajatnya, ia lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan," dan "orang yang menunjukkan kepada kebaikan (sama pahala) seperti pembuat kebaikan juga".

Soal memberi makan cukup menarik perhatian. Saya menelefon kawan di Pejabat Agung PAS, bertanyakan apakah masih ada program memberi makan percuma setiap petang Jumaat.

Rupanya pemberian sebungkus nasi dan sebotol air mineral itu tetap berjalan walaupun tidak mendapat publisiti. Saya berniat, apabila sihat nanti, akan meuar-uarkan program tersebut secara lebih meluas melalui Harakah, agar lebih ramai dermawan dapat menyumbang. Laporan Berita Harian, seminggu sebelum saya dibedah, tentang seorang pengusaha di Shah Alam menyediakan makanan percuma setiap hari di restoran kecilnya begitu mengujakan.

Segera saya menghantar SMS kepadanya. Beliau membalas, "kami cukup gembira kalau saudara dapat singgah ke tempat kami."

Saya turut diperingatkan oleh seorang ustaz tentang penyebab terkabulnya doa. Antara adabnya adalah bertawasul kepada Allah dengan Asma-ul Husna dan sifat-Nya yang Maha Tinggi, atau dengan amal soleh yang pernah dikerjakan. "Bismilllah enam", risalah Manzil dan al-Ma'thurat, serta solat rawatib, tahajud, taubat, hajat, witir dan dhuha menjadi kelaziman.

Dua untaian doa dalam al-Ma'thurat cukup mengesankan. Maksud yang pertama: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya akan terhalanglah sesuatu di bumi dan di langit, untuk menimpakan bencana, dan Ia Maha Mendengar dan Mengetahui. Maksud yang kedua: "Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdi-Mu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau."

SUBUH TERAKHIR

Sebaik usai solat Subuh pagi Isnin, ketika jururawat menunggu untuk menolak katil ke bilik bedah, isteri terus berpesan agar tetap mengulangi ayat 51 at-Taubah, bermaksud: "Katakanlah: Sesekali tidak akan menimpa kamiu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal."

Subuh itu terasa cukup syahdu dan tenang sekali walaupun saya terlanggar pantang sebelum pembedahan, iaitu tidak boleh minum apa-apa lagi selepas jam 12 tengah malam. Cukup berat mahu bangun dari sejadah. Apakan daya, tiga jururawat dengan wajah manis, sudah tercegat di tepi. Saya perhatikan wajah Siti dalam-dalam....

Oleh Ahmad Lutfi Othman
www.mindalutfi.blogspot.com

Tiada ulasan: