Rabu, Ogos 04, 2010

Kejadian cetus persoalan mengenai tahap disiplin



KUALA LUMPUR: Sarawak yang digemparkan dengan penyebaran rakaman video perlakuan seks membabitkan dua pelajar Tingkat Dua di negeri itu minggu lalu, kini dikejutkan pula dengan rakaman seorang pelajar sebuah sekolah menengah di negeri itu memaki-hamun dan menumbuk gurunya.

Rakaman video terbaru itu tersebar secara meluas kerana dimuat turun ke laman sosial, Youtube.

Kejadian itu dikatakan berlaku lima hari lalu membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dan seorang guru lelaki serta dirakam pelajar kelas sama menggunakan telefon bimbit.

Kedua-dua kejadian itu bukan saja dikatakan menimbulkan persoalan mengenai tahap disiplin pelajar sekolah, malah turut menampakkan sikap pelajar yang mudah melenting apabila berdepan guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan,berkata tayangan video kurang empat minit itu tidak menggambarkan tahap disiplin keseluruhan pelajar di negara ini dan menyifatkan kejadian berkenaan sebagai kes terpencil.

“Kita tidak boleh membuat andaian mengenai kejadian atau tidak boleh kata masalah disiplin begitu serius. Tidak perlulah kita sensasikan kejadian ini kerana masih banyak lagi kes yang tidak dibincangkan secara mendalam oleh mana-mana pihak.

“Kita tidak tahu kejadian itu sepenuhnya apa yang kita nampak pelajar marah dan kemudian menumbuk guru berkenaan,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau meminta guru sebagai orang yang lebih dewasa dan banyak pengalaman memainkan peranan masing-masing untuk mengawal dan meredakan kemarahan pelajar terbabit.

“Saya difahamkan pelajar itu berusia 15 tahun dan berada di Tingkatan Tiga dan dalam usia sebegini kita tahu mereka cepat marah... cepat bertindak. Bagaimanapun, guru perlu menggunakan pengalaman mereka untuk mengawal keadaan,”katanya.

Sumber www.bharian.com.my

Tiada ulasan: