Rabu, Januari 20, 2010

Lalat dan penyakit: RASULLULLAH dan Saintis


Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: " "Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat." Riwayat al-Bukhari

Huraian :
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah.

Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya.

Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini.

Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

http://dmptapah.blogspot.com
Baca selanjutnya...

Selasa, Januari 19, 2010

Kanibal: Ibu makan Anak! Mengerikan..!!!

Istilah haruan makan anak biasanya kita pakai bila sibapa atau penjaga yang merosakkan kehidupan anak gadisnya sendiri samaada merogol atau menjual tubuh anaknya untuk dijadikan pelacur. Cerita dari gambar dibawah ini dah lari dari tajuk ‘haruan makan anak’ tapi kisah yang sangat menyedih dan mengerikan, sanggup seorang ibu makan daging anaknya sendiri. Seorang ibu yang sanggup memotong-motong kemudian merebus anaknya dan tentunya untuk dijadikan santapan, ini gambar dari kekejaman seorang ibu di Nepal…nak panggil ibu apa, anda yang tentukan!


Baca selanjutnya...

Jumaat, Januari 15, 2010

Sistem pengangkutan darat terpantas


CHINA maju setapak lagi dalam sistem pengangkutan rel elektrik dengan pelancaran kereta api berkelajuan tinggi atau CRH yang kini merupakan kereta api peluru terpantas di dunia.Perkhidmatan kereta api Ekpres Harmony yang dilancarkan Disember lalu kini beroperasi dengan kelajuan 350 kilometer sejam (km/j) merentasi rel sepanjang 1,069 km, dari Guangzhou ke bandar Wuhan.

Dengan kelajuan itu, perjalanan dari selatan ke bahagian tengah negara itu yang sebelum ini memakan masa lapan jam berjaya disingkatkan kepada hanya tiga jam.

Rekod terbaru itu mengatasi kelajuan TGV, kereta api peluru Perancis yang memegang rekod terpantas sebelum ini (277 km/j), Shinkansen di Jepun (243 km/j) dan Eurostar yang menghubungkan London dengan Paris.

Walaupun beroperasi pada kelajuan 350 km/j, kelajuan maksimum CRH ketika ujian kepantasan yang dilakukan sebelum pelancarannya direkodkan pernah mencapai kepantasan 394 km/j.

CRH yang dibangunkan dengan kos melebihi AS$17 bilion (RM56.7 bilion) merangkumi pembinaan 42 jalur rel berkelajuan tinggi yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012.

Ia dilengkapi teknologi termoden dengan kawalan keselamatan yang dapat menghentikan pergerakan keseluruhan gerabak dalam masa yang singkat sebaik sahaja sistem pemantauannya mengesan masalah.

Perjalanan dalam kabin CRH dijamin lebih selesa berbanding kereta api peluru generasi terdahulu tanpa bunyi geseran dan gegaran.

Malah, kehebatan kejuruteraan yang dibangunkan oleh syarikat Siemens, Bombardier dan Alstom itu juga menyediakan kualiti perkhidmatan yang setaraf dengan pengangkutan udara.

Dalam kabin seluas 3.6 meter itu, penumpang diberi kelegaan tempat duduk (saiz tempat duduk kereta) yang di bahagikan secara apitan berkembar dua dan tiga.

Selain kemudahan asas seperti tandas, televisyen dan pili air minuman percuma, penumpang juga dilayani petugas gerabak yang sedia untuk mengambil tempahan makanan dan minuman.

Menariknya, pelancaran sistem pengangkutan darat terpantas di dunia itu turut menyumbang kepada penurunan tambang pengangkutan udara di destinasi terbabit untuk bersaing dengan CRH.

CRH menawarkan harga tambang maksimum AS$115 (RM388) untuk perjalanan kelas pertama dan separuh harga bagi kelas ekonomi.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Rel China, Wang Yongping berkata, pembinaan rel dengan 20 persinggahan di laluan Guangzhou-Wuhan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan wilayah negara itu secara lebih bersepadu.

"Untuk menampung lebih daripada satu bilion manusia, China bergantung kepada kereta api sebagai kaedah pengangkutan utama.

"Matlamat kerajaan adalah untuk menghubungkan setiap wilayah dengan tempoh perjalanan darat yang tidak melebihi lapan jam,'' ujarnya.

Tambah beliau, usaha 'mengecilkan' negara itu akan dipertingkatkan dengan memperluaskan rangkaian rel keretapi berkelajuan tinggi daripada 86,000 km yang ada sekarang kepada 120,000 km.

Sementara itu, kerajaan China turut mengumumkan pembinaan sistem kereta api berkelajuan tinggi yang akan menyingkatkan perjalanan Beijing ke Hong Kong daripada 23 jam kepada lapan jam.

Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi China bermula pada 2004 apabila Guangzhou dan Shenzen yang terletak di wilayah Guangdong dihubungkan dengan kereta api berkelajuan 160 km/j.

Sambutan menggalakkan terhadap sistem pengangkutan itu membawa kepada pelancaran satu lagi kereta api laju antara Tianjin dan Beijing yang dilancarkan pada temasya Sukan Olimpik tahun lalu.

Oleh ABD HALIM HADI
Baca selanjutnya...

Sumber kehidupan halal bentuk peribadi mulia


KEPINCANGAN dalam masyarakat hari ini berlaku kerana terlalu melihat kepada kebendaan menyebabkan timbul perasaan tidak tenang dan berasakan apa dimiliki masih belum cukup hingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi impian. Disebabkan itu, isu keberkatan hidup tidak pernah diberi perhatian apatah lagi untuk mengambil berat perihal makanan yang dibawa masuk ke rumah dan memastikan keluarga dibimbing menurut syariat Islam.

Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata perkara yang sebenarnya penting tetapi sering diabaikan itu menyebabkan berlakunya kejadian jenayah serta keruntuhan moral yang kian hari kian menakutkan.

Katanya, jika diselidik secara mendalam, anak yang soleh dan mudah terarah kepada kebaikan bukan berlaku secara kebetulan tetapi bermula daripada asas penubuhan keluarga iaitu pemilihan pasangan, pendidikan serta sumber makanan.

"Ada hadis mengenai lelaki yang menadah tangan ke langit dan berdoa kepada Allah tetapi doanya tidak diterima kerana rezekinya haram, pakaian haram dan dibesarkan oleh susu yang haram. Jadi, jika ibu makan makanan haram, itu yang anak jadi degil dan doa tidak mustajab.

"Perkara ini penting tetapi kita suka mengambil sikap pandang mudah atau tidak menghiraukan langsung perkara itu kerana terlalu mengejar keduniaan. Hasilnya kita lihat sekarang ini generasi Islam yang pincang," katanya.

Perkembangan semasa memperlihatkan insiden jenayah rogol, pembunuhan, konflik keluarga, keruntuhan moral golongan remaja, menimbulkan persoalan di mana silapnya kehidupan masyarakat hari ini.

Pembunuhan kejam terutama di kalangan ahli keluarga, keberanian anak remaja berzina tanpa disedari ibu bapa, pembuangan bayi tidak berdosa dan kepercayaan kepada bomoh serta ajaran sesat menjadi masalah seakan tiada berkesudahan.

Zahazan berkata, sikap individualistik yang semakin menyelubungi masyarakat kini menjadikan sistem kehidupan tidak berjalan seperti yang sepatutnya sedangkan jika semua pihak mengambil berat, banyak gejala negatif dapat dibendung secara bersama.

Oleh itu katanya, tindakan drastik untuk mengubah sikap masyarakat yang lebih bersifat individualistik kepada masyarakat prihatin perlu disegerakan supaya perjalanan sistem kehidupan dapat digerakkan ke arah keadaan yang lebih baik.

"Saya masuk masjid dan khatib ingin memulakan khutbah tetapi ada anak muda sedang berbual. Saya akan beritahu, penat saja datang jika tidak mendengar khutbah kerana pahala akan batal. Jika semua orang cakap begitu, budak muda ini akan sedar.

"Jika tengah malam ada anak remaja perempuan duduk melepak dengan lelaki di restoran, sepatutnya pemilik restoran menasihati dengan memberitahu alangkah risau ibu bapa memikirkan anak mereka yang tidak pulang.

"Malangnya, kebanyakan kita mengambil sikap 'tidak mengapa, orang lain akan buat tugas itu' menyebabkan tiada tindakan dan bagaimana kita hendak mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mementingkan hasil duniawi semata-mata sehingga mengetepikan keperluan untuk menerapkan nilai diajar agama melahirkan golongan bijak dalam pelajaran tetapi miskin dari segi akhlak mulia.

Sebab itu, ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang tetapi boleh bergaduh dengan rakan hanya kerana berebut teman lelaki disebabkan pencapaian yang baik tidak memberi kesan kepada akhlak.

Mereka tidak diceritakan mengenai adanya Allah, malaikat Raqib dan Atid serta kesan perbuatan baik mendapat pahala sementara yang melakukan kejahatan bakal dibalas dosa.

Zahazan berkata, umat Islam perlu melihat diri mereka sebagai satu badan dan mengambil masalah yang berlaku dalam masyarakat sebagai masalah masing-masing seterusnya berfikir mencari jalan menanganinya.

"Nabi Muhammad SAW berpesan siapa yang kata manusia itu rosak, orang Islam itu binasa, dialah yang paling binasa di kalangan mereka atau dialah yang membinasakan mereka. Hadis ini bahaya dan perlu difikirkan.

"Sementara Imam Syafie berkata, biar aku fikir sekejap daripada solat 1,000 rakaat kerana jika aku solat itu untuk diri aku tetapi jika aku fikir, fikiran itu akan dipakai beratus tahun. Jariah aku tidak pernah ada noktahnya," katanya.

Oleh HASLIZA HASSAN
Baca selanjutnya...

Kepala anak biri-biri mirip manusia


IZMIR - Seorang doktor haiwan di sebuah kampung di Turki, Erhan Elibol terkejut selepas dia mendapati terdapat seekor anak biri-biri memiliki wajah seperti manusia, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Anak biri-biri itu dikeluarkan menerusi pembedahan daripada ibunya.

Anak biri-biri itu yang mempunyai mata, hidung dan bibir seperti manusia.

"Saya pernah melihat anak lembu dan biri-biri yang dilahirkan dengan mempunyai tubuh yang pelik akibat proses mutasi seperti yang bermata satu, berkepala dua atau berkaki lima.

"Namun, apabila melihat anak biri-biri itu memiliki mata, hidung dan mulut seperti manusia, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat," kata doktor veterinar berusia 29 tahun itu.

Ramai pakar haiwan menganggap anak biri-biri yang mempunyai wajah mirip manusia itu berlaku kerana ibunya kekurangan zat vitamin A.

Menurut doktor itu, ibu biri-biri itu tidak dapat melahirkan anaknya itu secara normal menyebabkan pembedahan tersebut dilakukan.

Pada September tahun lalu, seekor anak kambing dilahirkan dengan mukanya mirip manusia dan hidup beberapa jam sebelum dibunuh dan dibakar oleh penduduk di sebuah kampung di Zimbabwe.

Gabenor di wilayah tempat anak kambing itu dilahirkan di Zimbabwe menyatakan kejadian tersebut berlaku akibat hubungan seks antara seorang lelaki dengan seekor kambing betina. - Agensi
Baca selanjutnya...

Isnin, Januari 11, 2010

Tahan nafas, jangan bergerak bila ular hendak mematuk


SERING kali kita terlupa atau buat-buat lupa perkara keselamatan ketika memancing. Bahaya sentiasa ada di sekeliling tanpa disedari, terutama kepada pemancing yang suka meredah hutan belantara dan muara sungai di seluruh Malaysia. Kebanyakannya tidak menitikberatkan keselamatan diri masing-masing. Peralatan perubatan “First aid” perlu dibawa bersama ketika meredah hutan untuk memancing sebagai langkah awal sebelum dirujuk kepada doktor.

Ruangan petua kali ini membicarakan ular kerana bisanya boleh membawa maut kepada mangsa. Bagi warga emas Mat Ali Siku dari Kampung Kuala Pah, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan kepakarannya menawar bisa ular tiada tandingan dan tidak hairanlah dia diberi jolokan Pak Ali Ular.

Mengakui memperoleh ilmu ular menerusi mimpi, warga emas berusia 73 tahun ini sering dipanggil jika rumah jiran-jirannya dikunjungi tetamu tidak diundang itu. Menurutnya, jangan sesekali bermain dengan ular kerana ia boleh mendatangkan musibah jika berlagak berani.

Kemampuannya menangkap pelbagai spesis ular berbisa seperti Tedung Selar, Ular Kapak, Ular Sawa dan banyak lagi menjadi bualan penduduk kampung. Pesannya kepada pemancing yang suka memancing pada waktu malam jika terserempak dengan ular berbisa seperti tedung selar atau ular kapak jangan menggerakkan badan dan jika boleh tahan bernafas.

Ular berbisa seperti tedung selar boleh mengesan mangsanya dengan deria haba yang dihembus. Biasanya ular yang sedia hendak mematuk akan berdiri, jadi jangan sesekali mengacahnya.

Biar ular itu turun ke tanah sendiri dan biarkan ia pergi. Pesannya, bila meredah hutan pada waktu malam pakai kasut getah yang tinggi, ini kerana ia mampu melindungi peha kita dari dipatuk ular berbisa. Jika seseorang dipatuk ular, ikat dengan kuat menggunakan kain atau tali bahagian patukan itu.

Cara ini, dapat melambatkan bisa ular meresap ke saluran darah. Sedut dengan sekuat hati pada tempat anggota badan anda yang dipatuk ular tadi dan meludahnya supaya bisa berkenaan dapat dikeluarkan. Kemudian, perlu rujuk ke klinik atau pusat perubatan berdekatan.

Kepada mereka yang kerap memancing pada waktu malam, beliau mengingatkan supaya berhati-hati lihat keadaan sekeliling sebelum melabuhkan joran.

Oleh NORDIN MISNAN
Baca selanjutnya...

Kalimah Allah: Tinggalkan Emosi, tingkatkan Ilmu


Assalamualaikum wbh,

Masakini negara kita dihebahkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible dan juga majalah-majalah Kristian yang diedarkan oleh penganut Kristian di negara kita. Masyarakat Islam, khasnya golongan Melayu memberikan reaksi yang cukup hebat, dan memandang bahawa kalimah Allah adalah khas untuk orang-orang Islam sahaja. Demonstrasi jalanan diadakan membantah penggunaan ini. Begitu juga beberapa ribu naskah Bible telah dirampas kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya.


Hakikatnya penulis memandang perkara ini berbau emosi yang berlebihan, bukan berdasarkan ilmu yang nyata. Ini kerana penggunaan lafaz kalimah mulia ‘Allah’ itu, sudah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw lagi. Bahkan orang-orang Jahiliyah sebelum kebangkitan nabi akhir zaman juga telah menggunakan kalimah Allah, bahkan di antara 360 patung yang disangkut pada Kaabah pada zaman Jahiliyah, salah satunya bernama ‘Allah’, kerana mereka menganggap Allah itu Tuhan penjaga Kaabah. Buktinya, adalah ketika tentera bergajah Abrahah ingin menyerang Kaabah, Abdul Muttalib menyebut bahawa ‘Allah penjaga Kaabah, dan dia akan memeliharanya (dari serangan Abrahah)’.

Penulis memahami bahawa kebanyakan masyarakat Islam negara ini menentang penggunaan kalimah Allah ini kerana bimbang bahawa orang-orang Islam akan ada yang terkeliru, hingga mereka menyangkan bahawa kata-kata di dalam Bible itu merupakan kata-kata Allah, seperti mana halnya di dalam Al-Quran. Oleh sebab itulah penentangan dan bantahan diketengahkan. Cuma sahaja penulis memandang, alangkah baiknya jika kita berbalik kepada kaedah yang lebih baik, iaitu TINGGIKAN ilmu kita, banyakkan pembacaan di dalam bidang perbandingan agama, dan ajarkan kepada anak-anak kita, bahkan di dalam masyarakat majmuk ini, amat penting kita selitkan isu-isu perbandingan agama, terutamanya yang membicarakan tentang isu ahli kitab di dalam mata pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah, sehingga timbul keyakinan yang tulen terhadap Al-Quran, Islam dan kerasulan Nabi Muhammad saw di hati kita dan hati anak-anak Islam.

Ini kerana walaupun rata-rata masyarakat kita selalu menyebut bahawa Bible yang ada di tangan kita sekarang bukan lagi Bible yang asli, namun andai kita dihujani dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan Bible, seperti ‘tunjukkan saya di mana selewengnya?’ ‘Adakah kamu ada Bible yang asal untuk membuktikan bahawa Bible ini telah diubah?’, atau ‘bukankah Bible ini juga kata-kata Allah, habis kenapa kamu tidak percaya?’, maka ramai yang akan keliru.

Oleh sebab itu, daripada membuat bantahan beramai-ramai, lebih baik kita perdalami ilmu dan kita dan mempelajari sedikit-sebanyak berkenaan Bible, dan cuba ketengahkan kelemahannya. Di dalam artikel ini, inilah yang penulis ingin bawakan untuk manfaat bersama. Penulis menganggap artikel ini sebagai satu permulaan bagi para pembaca, untuk mula berminat dengan ilmu perbandingan agama yang sangat penting bagi memantapkan aqidah kita.

Berikut beberapa kelemahan dan penipuan yang ada di dalam Bible:

1) Majalah Awake terbitan Jehovah’s Witnesses tahun 1957, 8 September, menyatakan bahawa terdapat 50,000 kesalahan di dalam Bible versi King James. Perlu diingat bahawa Bible tidak ditulis pada zaman nabi Isa as, bahkan Bible pertama ditulis hanya setelah 300 tahun setelah naiknya Nabi Isa as ke langit (naiknya ke langit berdasarkan versi Bible, bukan versi Al-Quran). Tulisan asal Bible ini dinamakan ‘salinan asal’. Selepas salinan asal, terdapat selepasnya salinan ‘yang paling terdahulu’, kemudian selepasnya salinan ‘yang terdahulu’ (berumur 4-5 ratus tahun setelah naiknya Nabi Isa as ke langit), dan seterusnya ‘versi-versi terdahulu’ dan seterusnya. Satu-satunya versi Bible yang ‘menyentuh’ salinan ‘yang paling terdahulu’ adalah versi “Revised Standard Version 1952”, dan salinan ini langsung tiada rujukan dari salinan yang asal. Inilah perbezaan utama di antara Al-Quran dan Bible, dan kerana itulah puluhan ribu kesalahan wujud di dalam Bible setelah disemak dengan penemuan semula salinan ‘yang paling terdahulu’.

2) Lima buku pertama di dalam Bible, iaitu di dalam Perjanjian Lama – Genesis, Exodus, Leviticus, Numbers dan Deutronomy – orang-orang Kristian menganggapnya sebagai tulisan Nabi Musa as. Namun jika kita perhatikan dengan teliti, setiap ayat di dalamnya berbunyi “Dan Tuhan berkata kepada Musa”, “dan Musa berkata kepada Tuhan”, dan seterusnya. Dengan kata lain, jelas tulisan-tulisan di dalam 5 buku ini adalah dari sudut pandangan orang yang ketiga, bukan Nabi Musa as sendiri! Ini kerana jika Nabi Musa as yang menulis Taurat, sudah tentu ianya akan berbunyi “Dan Tuhan berkata kepadaku (Musa)”, dan “Aku (Musa) berkata kepada Tuhan”.

3) Ramalan-ramalan di dalam Perjanjian Lama (Old Testament) yang penganut Kristian anggap sebagai ramalan yang menyatakan tentang kemunculan Isa as, adalah sebenarnya ramalan yang mengisahkan tentang insan yang lain, bukan Isa as. Ini kerana mereka (penganut Kristian) menganggap ayat ini dimaksudkan dengan Nabi Isa as.

“Aku (Tuhan) akan mengutuskan bagi mereka seorang Nabi dari saudara mereka sendiri, seperti dirimu (wahai Musa), dan Aku akan masukkan kata-kataKu di dalam mulutnya, dan dia akan berkata-kata kepada mereka (umat manusia) kesemua yang Aku arahkan kepadanya”

Kita akan melihat ayat ini dengan terperinci. Pertama, ayat ini menyatakan “Nabi seperti kamu (wahai Musa), dan kerana itu penganut Kristian mengatakan bahawa ramalan ini berkenaan Isa as, kerana Isa as juga seorang nabi, dan juga kerana Musa dan Isa kedua-dua mereka adalah Yahudi . Namun pada hakikatnya, ramalan ini jauh lebih menepati sifat-sifat Nabi akhir zaman, kekasih kita Muhammad saw! Ini kerana sifat-sifat Nabi Muhammad saw adalah lebih menyamai sifat-sifat Nabi Musa as:-

i) Musa as dan Muhammad saw mempunyai ibu dan ayah, Nabi Isa as tidak berayah.

ii) Musa as dan Muhammad saw dilahirkan melalui proses kelahiran yang normal, sedangkan Isa as bukan melalui perantaraa manusia seperti mana yang kita tahu.

iii) Musa as dan Muhammad saw pernah berkahwin, hal ini tidak dengan Isa as.

iv) Musa as dan Muhammad saw telah diterima dan disanjungi oleh umat mereka. Nabi Musa as disanjungi oleh Bani Israil, begitu juga Nabi Muhammad saw disanjungi oelh umat akhir zaman, sehingga sekarang. Namun Nabi Isa as telah ditolak dan dibuang oleh Bani Israil sendiri, BAHKAN SEHINGGA SEKARANG UMAT NABI ISA AS – YAHUDI – MASIH LAGI MENOLAK KERASULAN ISA AS!

v) Nabi Musa as dan Muhammad saw membawa syariah perundangan kepada umat mereka, namun Nabi Isa as di dalam Bible tidak membawa sebarang syariah baru .

vi) Nabi Musa as dan Muhammad saw wafat dengan cara biasa, namun Isa as (menurut kepercayaan Kristian) mati di salib.

vii) Nabi Musa as dan Muhammad saw kedua-duanya dikebumikan di bumi, namun Nabi Isa as diangkat ke langit.

Kedua, ayat ramalan tadi menyebut ‘dari saudara mereka sendiri’. Ini juga menepati sifat Nabi Muhammad saw, kerana Nabi Muhammad berasal dari Arab, dan masyarakat Arab adalah saudara kepada Yahudi, kerana dari Ismail as lahirnya kaum Arab, dan dari Ishaq as lahirlah kaum Yahudi, dan kedua mereka adalah dari bapa yang sama, iaitu Khalilullah Ibrahim as.

4) Di dalam ayat-ayat yang menyebut ‘the comforter’ , atau merujuk kepada Nabi yang bakal muncul, asal perkataan ‘the comforter’ itu sendiri di dalam bahasa Greek ialah ‘Paracletos’, dan Bible di dalam bahasa Greek merupakan salinan Bible yang terawal. Perkataan ‘Paracletos’ itu sendiri bukan bermaksud ‘the comforter’. Itu merupakan kesalahan terjemahan Bible dari Greek ke Inggeris. Adapun maksud sebenar perkataan ini ialah ‘he who is praised exceedingly’, atau ‘yang terpuji’ vis-à-vis, Muhammad!

5) Bible itu sendiri mempunyai pelbagai versi, seperti versi Roman Katolik, versi Rivised Standard Version, New American Bible, dan berbagai lagi. Malahan setiap versi ini mempunyai kelainan yang nyata, seperti mana Bible King James yang telah membuang beberapa buku daripada Bible Roman Katolik.

Begitulah beberapa bukti penyelewengan yang dapat penulis bawakan di sini. Mudah-mudahan ini serba-sedikit dapat membuka minda pembaca, tentang bagaimana berkesannya jikalau kita menanamkan ilmu berkenaan Bible di dalam dada kita dan anak-anak kita, insyaAllah mereka tidak akan terkeliru dengan kata-kata Allah, dan dapat membezakan kata-kata Allah yang tulin di dalam Al-Quran, dan kata-kata Allah yang palsu semata-mata di dalam Bible dan sebagainya. Marilah kita sama-sama tanamkan di dalam masyarakat kita sendiri, berkenaan firman Allah swt “Maka celakalah mereka yang menulis kitab Allah dengan tangan mereka sendiri, dan berkata ‘ini adalah dari sisi Allah’, agar mereka dapat memperdagangkannya dengan harga yang murah. Celakalah tangan mereka dan celakalah apa yang mereka hasilkan itu”.

Jikalau kita benar-benar beriman dengan ayat ini, memperdalaminya, yakin dan memperdalamkan ilmu di bawah bayang ayat yang mulia ini, nescaya tidak akan timbul masalah ada orang selain dari orang Islam yang menggunakan lafaz kalimah Allah, samada di dalam Bible, Sanskrit Hindu, buku-buku Buddha dan sebagainya. Firman Allah swt, “Tiada paksaan di dalam agama (Islam). Sungguh telah terbeza yang (jalan) yang terang dengan yang gelap”.

Marilah kita meninggalkan tingkahlaku emosi dan perasaan, dan beralih kepada langkah yang berilmu dan bersifat akademik, kerana dengan ilmu kita akan terbeza dari yang salih dan ingkar. Dan dengan ilmu jugalah, kita dapat menyelamatkan iman kita dari sebarang penyelewengan, serta meninggalkan anak-anak yang soleh, teguh aqidahnya di atas bumi Allah ini.

Ya Allah…selamatkan kami dari bahaya syirik, selamatkan kami dari serangan musuh-musuhMu.

Ya Allah…selamatkan kami dari kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh hambaMu yang keliru, yang fanatik dan degil di atas jalan yang sesat. Tunjukilah kami jalan yang lurus, tambahkanlah ilmu kami dan pandulah kami ke arah cahayaMu.

Ya Allah…sungguh kami hidup di zaman Islam ini dibenci, malahan lebih menyedihkan lagi, sering disalah fahami oleh umat Islam sendiri…ini kerana kami kekurangan ilmu, maka kuranglah cahaya dengan kurangnya ilmu, dan apabila cahaya itu malap, maka kegelapan dan taklid butalah yang memayungi kami semua…ya Allah maka singkapkanlah kegelapan ini, bukakanlah hati umat tanah airku kepada ilmu…agar terhapus rasa perbezaan dan benci, dan bersinarlah ketenangan dan bahagia.

Amin.

Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?

Wassalam.

Oleh MOHD AZRI MOHD NASARUDDIN
Baca selanjutnya...

Kalimah Allah dalam konteks Siyasah Syariah


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bRU INI memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal'.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu merekaHakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.
Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah: "Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" - (al-Zukhruf: 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada Bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, Bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.

TETAPI... Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan. Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk UK dan Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negera-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah diskrip menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Oleh USTAZ ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Baca selanjutnya...