KEPINCANGAN dalam masyarakat hari ini berlaku kerana terlalu melihat kepada kebendaan menyebabkan timbul perasaan tidak tenang dan berasakan apa dimiliki masih belum cukup hingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi impian. Disebabkan itu, isu keberkatan hidup tidak pernah diberi perhatian apatah lagi untuk mengambil berat perihal makanan yang dibawa masuk ke rumah dan memastikan keluarga dibimbing menurut syariat Islam.
Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata perkara yang sebenarnya penting tetapi sering diabaikan itu menyebabkan berlakunya kejadian jenayah serta keruntuhan moral yang kian hari kian menakutkan.
Katanya, jika diselidik secara mendalam, anak yang soleh dan mudah terarah kepada kebaikan bukan berlaku secara kebetulan tetapi bermula daripada asas penubuhan keluarga iaitu pemilihan pasangan, pendidikan serta sumber makanan.
"Ada hadis mengenai lelaki yang menadah tangan ke langit dan berdoa kepada Allah tetapi doanya tidak diterima kerana rezekinya haram, pakaian haram dan dibesarkan oleh susu yang haram. Jadi, jika ibu makan makanan haram, itu yang anak jadi degil dan doa tidak mustajab.
"Perkara ini penting tetapi kita suka mengambil sikap pandang mudah atau tidak menghiraukan langsung perkara itu kerana terlalu mengejar keduniaan. Hasilnya kita lihat sekarang ini generasi Islam yang pincang," katanya.
Perkembangan semasa memperlihatkan insiden jenayah rogol, pembunuhan, konflik keluarga, keruntuhan moral golongan remaja, menimbulkan persoalan di mana silapnya kehidupan masyarakat hari ini.
Pembunuhan kejam terutama di kalangan ahli keluarga, keberanian anak remaja berzina tanpa disedari ibu bapa, pembuangan bayi tidak berdosa dan kepercayaan kepada bomoh serta ajaran sesat menjadi masalah seakan tiada berkesudahan.
Zahazan berkata, sikap individualistik yang semakin menyelubungi masyarakat kini menjadikan sistem kehidupan tidak berjalan seperti yang sepatutnya sedangkan jika semua pihak mengambil berat, banyak gejala negatif dapat dibendung secara bersama.
Oleh itu katanya, tindakan drastik untuk mengubah sikap masyarakat yang lebih bersifat individualistik kepada masyarakat prihatin perlu disegerakan supaya perjalanan sistem kehidupan dapat digerakkan ke arah keadaan yang lebih baik.
"Saya masuk masjid dan khatib ingin memulakan khutbah tetapi ada anak muda sedang berbual. Saya akan beritahu, penat saja datang jika tidak mendengar khutbah kerana pahala akan batal. Jika semua orang cakap begitu, budak muda ini akan sedar.
"Jika tengah malam ada anak remaja perempuan duduk melepak dengan lelaki di restoran, sepatutnya pemilik restoran menasihati dengan memberitahu alangkah risau ibu bapa memikirkan anak mereka yang tidak pulang.
"Malangnya, kebanyakan kita mengambil sikap 'tidak mengapa, orang lain akan buat tugas itu' menyebabkan tiada tindakan dan bagaimana kita hendak mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata, sistem pendidikan yang mementingkan hasil duniawi semata-mata sehingga mengetepikan keperluan untuk menerapkan nilai diajar agama melahirkan golongan bijak dalam pelajaran tetapi miskin dari segi akhlak mulia.
Sebab itu, ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang tetapi boleh bergaduh dengan rakan hanya kerana berebut teman lelaki disebabkan pencapaian yang baik tidak memberi kesan kepada akhlak.
Mereka tidak diceritakan mengenai adanya Allah, malaikat Raqib dan Atid serta kesan perbuatan baik mendapat pahala sementara yang melakukan kejahatan bakal dibalas dosa.
Zahazan berkata, umat Islam perlu melihat diri mereka sebagai satu badan dan mengambil masalah yang berlaku dalam masyarakat sebagai masalah masing-masing seterusnya berfikir mencari jalan menanganinya.
"Nabi Muhammad SAW berpesan siapa yang kata manusia itu rosak, orang Islam itu binasa, dialah yang paling binasa di kalangan mereka atau dialah yang membinasakan mereka. Hadis ini bahaya dan perlu difikirkan.
"Sementara Imam Syafie berkata, biar aku fikir sekejap daripada solat 1,000 rakaat kerana jika aku solat itu untuk diri aku tetapi jika aku fikir, fikiran itu akan dipakai beratus tahun. Jariah aku tidak pernah ada noktahnya," katanya.
Oleh HASLIZA HASSAN
Jumaat, Januari 15, 2010
Sumber kehidupan halal bentuk peribadi mulia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan