Isnin, Januari 11, 2010

Kalimah Allah: Tinggalkan Emosi, tingkatkan Ilmu


Assalamualaikum wbh,

Masakini negara kita dihebahkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible dan juga majalah-majalah Kristian yang diedarkan oleh penganut Kristian di negara kita. Masyarakat Islam, khasnya golongan Melayu memberikan reaksi yang cukup hebat, dan memandang bahawa kalimah Allah adalah khas untuk orang-orang Islam sahaja. Demonstrasi jalanan diadakan membantah penggunaan ini. Begitu juga beberapa ribu naskah Bible telah dirampas kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya.


Hakikatnya penulis memandang perkara ini berbau emosi yang berlebihan, bukan berdasarkan ilmu yang nyata. Ini kerana penggunaan lafaz kalimah mulia ‘Allah’ itu, sudah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Kristian sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw lagi. Bahkan orang-orang Jahiliyah sebelum kebangkitan nabi akhir zaman juga telah menggunakan kalimah Allah, bahkan di antara 360 patung yang disangkut pada Kaabah pada zaman Jahiliyah, salah satunya bernama ‘Allah’, kerana mereka menganggap Allah itu Tuhan penjaga Kaabah. Buktinya, adalah ketika tentera bergajah Abrahah ingin menyerang Kaabah, Abdul Muttalib menyebut bahawa ‘Allah penjaga Kaabah, dan dia akan memeliharanya (dari serangan Abrahah)’.

Penulis memahami bahawa kebanyakan masyarakat Islam negara ini menentang penggunaan kalimah Allah ini kerana bimbang bahawa orang-orang Islam akan ada yang terkeliru, hingga mereka menyangkan bahawa kata-kata di dalam Bible itu merupakan kata-kata Allah, seperti mana halnya di dalam Al-Quran. Oleh sebab itulah penentangan dan bantahan diketengahkan. Cuma sahaja penulis memandang, alangkah baiknya jika kita berbalik kepada kaedah yang lebih baik, iaitu TINGGIKAN ilmu kita, banyakkan pembacaan di dalam bidang perbandingan agama, dan ajarkan kepada anak-anak kita, bahkan di dalam masyarakat majmuk ini, amat penting kita selitkan isu-isu perbandingan agama, terutamanya yang membicarakan tentang isu ahli kitab di dalam mata pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah, sehingga timbul keyakinan yang tulen terhadap Al-Quran, Islam dan kerasulan Nabi Muhammad saw di hati kita dan hati anak-anak Islam.

Ini kerana walaupun rata-rata masyarakat kita selalu menyebut bahawa Bible yang ada di tangan kita sekarang bukan lagi Bible yang asli, namun andai kita dihujani dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan Bible, seperti ‘tunjukkan saya di mana selewengnya?’ ‘Adakah kamu ada Bible yang asal untuk membuktikan bahawa Bible ini telah diubah?’, atau ‘bukankah Bible ini juga kata-kata Allah, habis kenapa kamu tidak percaya?’, maka ramai yang akan keliru.

Oleh sebab itu, daripada membuat bantahan beramai-ramai, lebih baik kita perdalami ilmu dan kita dan mempelajari sedikit-sebanyak berkenaan Bible, dan cuba ketengahkan kelemahannya. Di dalam artikel ini, inilah yang penulis ingin bawakan untuk manfaat bersama. Penulis menganggap artikel ini sebagai satu permulaan bagi para pembaca, untuk mula berminat dengan ilmu perbandingan agama yang sangat penting bagi memantapkan aqidah kita.

Berikut beberapa kelemahan dan penipuan yang ada di dalam Bible:

1) Majalah Awake terbitan Jehovah’s Witnesses tahun 1957, 8 September, menyatakan bahawa terdapat 50,000 kesalahan di dalam Bible versi King James. Perlu diingat bahawa Bible tidak ditulis pada zaman nabi Isa as, bahkan Bible pertama ditulis hanya setelah 300 tahun setelah naiknya Nabi Isa as ke langit (naiknya ke langit berdasarkan versi Bible, bukan versi Al-Quran). Tulisan asal Bible ini dinamakan ‘salinan asal’. Selepas salinan asal, terdapat selepasnya salinan ‘yang paling terdahulu’, kemudian selepasnya salinan ‘yang terdahulu’ (berumur 4-5 ratus tahun setelah naiknya Nabi Isa as ke langit), dan seterusnya ‘versi-versi terdahulu’ dan seterusnya. Satu-satunya versi Bible yang ‘menyentuh’ salinan ‘yang paling terdahulu’ adalah versi “Revised Standard Version 1952”, dan salinan ini langsung tiada rujukan dari salinan yang asal. Inilah perbezaan utama di antara Al-Quran dan Bible, dan kerana itulah puluhan ribu kesalahan wujud di dalam Bible setelah disemak dengan penemuan semula salinan ‘yang paling terdahulu’.

2) Lima buku pertama di dalam Bible, iaitu di dalam Perjanjian Lama – Genesis, Exodus, Leviticus, Numbers dan Deutronomy – orang-orang Kristian menganggapnya sebagai tulisan Nabi Musa as. Namun jika kita perhatikan dengan teliti, setiap ayat di dalamnya berbunyi “Dan Tuhan berkata kepada Musa”, “dan Musa berkata kepada Tuhan”, dan seterusnya. Dengan kata lain, jelas tulisan-tulisan di dalam 5 buku ini adalah dari sudut pandangan orang yang ketiga, bukan Nabi Musa as sendiri! Ini kerana jika Nabi Musa as yang menulis Taurat, sudah tentu ianya akan berbunyi “Dan Tuhan berkata kepadaku (Musa)”, dan “Aku (Musa) berkata kepada Tuhan”.

3) Ramalan-ramalan di dalam Perjanjian Lama (Old Testament) yang penganut Kristian anggap sebagai ramalan yang menyatakan tentang kemunculan Isa as, adalah sebenarnya ramalan yang mengisahkan tentang insan yang lain, bukan Isa as. Ini kerana mereka (penganut Kristian) menganggap ayat ini dimaksudkan dengan Nabi Isa as.

“Aku (Tuhan) akan mengutuskan bagi mereka seorang Nabi dari saudara mereka sendiri, seperti dirimu (wahai Musa), dan Aku akan masukkan kata-kataKu di dalam mulutnya, dan dia akan berkata-kata kepada mereka (umat manusia) kesemua yang Aku arahkan kepadanya”

Kita akan melihat ayat ini dengan terperinci. Pertama, ayat ini menyatakan “Nabi seperti kamu (wahai Musa), dan kerana itu penganut Kristian mengatakan bahawa ramalan ini berkenaan Isa as, kerana Isa as juga seorang nabi, dan juga kerana Musa dan Isa kedua-dua mereka adalah Yahudi . Namun pada hakikatnya, ramalan ini jauh lebih menepati sifat-sifat Nabi akhir zaman, kekasih kita Muhammad saw! Ini kerana sifat-sifat Nabi Muhammad saw adalah lebih menyamai sifat-sifat Nabi Musa as:-

i) Musa as dan Muhammad saw mempunyai ibu dan ayah, Nabi Isa as tidak berayah.

ii) Musa as dan Muhammad saw dilahirkan melalui proses kelahiran yang normal, sedangkan Isa as bukan melalui perantaraa manusia seperti mana yang kita tahu.

iii) Musa as dan Muhammad saw pernah berkahwin, hal ini tidak dengan Isa as.

iv) Musa as dan Muhammad saw telah diterima dan disanjungi oleh umat mereka. Nabi Musa as disanjungi oleh Bani Israil, begitu juga Nabi Muhammad saw disanjungi oelh umat akhir zaman, sehingga sekarang. Namun Nabi Isa as telah ditolak dan dibuang oleh Bani Israil sendiri, BAHKAN SEHINGGA SEKARANG UMAT NABI ISA AS – YAHUDI – MASIH LAGI MENOLAK KERASULAN ISA AS!

v) Nabi Musa as dan Muhammad saw membawa syariah perundangan kepada umat mereka, namun Nabi Isa as di dalam Bible tidak membawa sebarang syariah baru .

vi) Nabi Musa as dan Muhammad saw wafat dengan cara biasa, namun Isa as (menurut kepercayaan Kristian) mati di salib.

vii) Nabi Musa as dan Muhammad saw kedua-duanya dikebumikan di bumi, namun Nabi Isa as diangkat ke langit.

Kedua, ayat ramalan tadi menyebut ‘dari saudara mereka sendiri’. Ini juga menepati sifat Nabi Muhammad saw, kerana Nabi Muhammad berasal dari Arab, dan masyarakat Arab adalah saudara kepada Yahudi, kerana dari Ismail as lahirnya kaum Arab, dan dari Ishaq as lahirlah kaum Yahudi, dan kedua mereka adalah dari bapa yang sama, iaitu Khalilullah Ibrahim as.

4) Di dalam ayat-ayat yang menyebut ‘the comforter’ , atau merujuk kepada Nabi yang bakal muncul, asal perkataan ‘the comforter’ itu sendiri di dalam bahasa Greek ialah ‘Paracletos’, dan Bible di dalam bahasa Greek merupakan salinan Bible yang terawal. Perkataan ‘Paracletos’ itu sendiri bukan bermaksud ‘the comforter’. Itu merupakan kesalahan terjemahan Bible dari Greek ke Inggeris. Adapun maksud sebenar perkataan ini ialah ‘he who is praised exceedingly’, atau ‘yang terpuji’ vis-à-vis, Muhammad!

5) Bible itu sendiri mempunyai pelbagai versi, seperti versi Roman Katolik, versi Rivised Standard Version, New American Bible, dan berbagai lagi. Malahan setiap versi ini mempunyai kelainan yang nyata, seperti mana Bible King James yang telah membuang beberapa buku daripada Bible Roman Katolik.

Begitulah beberapa bukti penyelewengan yang dapat penulis bawakan di sini. Mudah-mudahan ini serba-sedikit dapat membuka minda pembaca, tentang bagaimana berkesannya jikalau kita menanamkan ilmu berkenaan Bible di dalam dada kita dan anak-anak kita, insyaAllah mereka tidak akan terkeliru dengan kata-kata Allah, dan dapat membezakan kata-kata Allah yang tulin di dalam Al-Quran, dan kata-kata Allah yang palsu semata-mata di dalam Bible dan sebagainya. Marilah kita sama-sama tanamkan di dalam masyarakat kita sendiri, berkenaan firman Allah swt “Maka celakalah mereka yang menulis kitab Allah dengan tangan mereka sendiri, dan berkata ‘ini adalah dari sisi Allah’, agar mereka dapat memperdagangkannya dengan harga yang murah. Celakalah tangan mereka dan celakalah apa yang mereka hasilkan itu”.

Jikalau kita benar-benar beriman dengan ayat ini, memperdalaminya, yakin dan memperdalamkan ilmu di bawah bayang ayat yang mulia ini, nescaya tidak akan timbul masalah ada orang selain dari orang Islam yang menggunakan lafaz kalimah Allah, samada di dalam Bible, Sanskrit Hindu, buku-buku Buddha dan sebagainya. Firman Allah swt, “Tiada paksaan di dalam agama (Islam). Sungguh telah terbeza yang (jalan) yang terang dengan yang gelap”.

Marilah kita meninggalkan tingkahlaku emosi dan perasaan, dan beralih kepada langkah yang berilmu dan bersifat akademik, kerana dengan ilmu kita akan terbeza dari yang salih dan ingkar. Dan dengan ilmu jugalah, kita dapat menyelamatkan iman kita dari sebarang penyelewengan, serta meninggalkan anak-anak yang soleh, teguh aqidahnya di atas bumi Allah ini.

Ya Allah…selamatkan kami dari bahaya syirik, selamatkan kami dari serangan musuh-musuhMu.

Ya Allah…selamatkan kami dari kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh hambaMu yang keliru, yang fanatik dan degil di atas jalan yang sesat. Tunjukilah kami jalan yang lurus, tambahkanlah ilmu kami dan pandulah kami ke arah cahayaMu.

Ya Allah…sungguh kami hidup di zaman Islam ini dibenci, malahan lebih menyedihkan lagi, sering disalah fahami oleh umat Islam sendiri…ini kerana kami kekurangan ilmu, maka kuranglah cahaya dengan kurangnya ilmu, dan apabila cahaya itu malap, maka kegelapan dan taklid butalah yang memayungi kami semua…ya Allah maka singkapkanlah kegelapan ini, bukakanlah hati umat tanah airku kepada ilmu…agar terhapus rasa perbezaan dan benci, dan bersinarlah ketenangan dan bahagia.

Amin.

Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?

Wassalam.

Oleh MOHD AZRI MOHD NASARUDDIN

Tiada ulasan: