Sabtu, Ogos 15, 2009

Kematian H1N1 meningkat kepada 59


Jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 59 orang apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga orang lagi dilaporkan meninggal dunia kerana penyakit tersebut.

Sebanyak 209 kes baru turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhannya meningkat kepada 3,574 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican berkata, tiga kematian tersebut mempunyai faktor risiko, iaitu obes, masalah jantung dan asthma.

Korban pertama ialah seorang lelaki berumur 22 tahun, obes, dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos kerana simptom infuenza.

Palitan tekak diambil dan rawatan antiviral dimulakan keesokannya. Dia meninggal dunia pada 12 Ogos kerana viral pneumonia dan disahkan positif Influenza A(H1N1).

Seorang kedua pula ialah seorang lelaki berumur 29 tahun, mempunyai faktor risiko penyakit jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos kerana simptom influenza yang teruk selama dua hari.

Palitan tekak diambil dan antiviral diberi pada 10 Ogos. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 12 Ogos kerana bronchopneumonia yang teruk.

Dia disahkan positif Influenza A(H1N1) semalam (14 Ogos).

Korban ketiga pula ialah seorang wanita berumur 44 tahun dengan sejarah asma.

Dia dimasukan ke hospital pada 8 Ogos kerana simptom influenza selama lima hari.

Wanita itu diberi antiviral pada 9 Ogos dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada 10 Ogos. Dia meninggal dunia pada 13 Ogos disebabkan oleh pneumonia.

Sumber berita: http://www.malaysiakini.com

Tiada ulasan: