Rabu, Ogos 19, 2009

Mahkamah tinggi arah Berita Harian bayar RM150 ribu kepada Mahfuz


KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan syarikat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad melalui akhbar Berita Harian membayar gantirugi sebanyak RM150 ribu kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berikutan laporan mereka sebelum ini berkaitan dakwaan Mahfuz mengajak seorang menteri bertumbuk dalam parlimen.

Pada sidang media di pejabat Harakah siang tadi, Mahfuz memberitahu keputusan tersebut telah membersihkan dirinya dari fitnah ekoran laporan akhbar itu.


"Saya bersyukur kes ini memihak kepada saya, namun bukan soal jumlah dan nilai wang itu, tetapi yang lebih penting bagi saya adalah nama saya dapat dibersihkan daripada tanggapan negatif yang terkesan dari laporan Berita harian ini," ujarnya pada sidang media tersebut.

Turut hadir sama peguam mewakilinya, Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS.

Kes itu mula didengar di Mahkamah Tinggi Sivil, Jalan Duta selepas Pilihanraya umum Mac tahun lalu dan mendapat keputusannya hari ini yang dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Mohd Yazid Mustafa

Mahfuz menamakan Dato' Ahmad Rejal Arbee dan NSTP Press Berhad sebagai defendan yang diwakili peguam Nad Segaram.

Saman fitnah Mahfuz itu dibuat ekoran laporan muka hadapan akhbar Berita Harian, 9 November 2000 bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk".

Insiden itu berlaku ketika Mahfuz yang pada ketika itu Ahli Parlimen Pokok Sena sedang membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung keganasan polis dalam menyuraikan himpunan rakyat di Lebuh Raya Kesas berhampiran Jalan Kebun, Klang.

"Berita Harian melaporkan Mahfuz mengajak Ahli Parlimen Tampin, Dato' Shaziman Abu Mansor untuk bertumbuk di luar Dewan sedangkan beliau sebenarnya hanya menjawab cabaran Shaziman."

"Insiden itu direkodkan di dalam handsard Parlimen dan bukti menunjukkan Shaziman yang memulakan cabaran sehingga menuding jari sebagai mengajak Mahfuz keluar dewan namun ditenangkan oleh seorang penyokong kerajaan," jelas Hanipa.

Mahfuz pada sidang media sama menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar mengambil tindakan sama dengan mengemukakan saman kepada media yang telah mengaitkannya dengan kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Sharibuu dan juga kes rasuah pembelian kapal selam.

Ianya penting bagi membersihkan imej bukan sahaja diri Najib, malah rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Saya kira Datuk Najib perlu mengambil tindakan undang-undang khususnya terhadap media luar negara bagi membersihkan nama baik dia dan lebih besar daripada itu adalah membersihkan nama baik rakyat dan Negara Malaysia. Sehingga hari ini saya tidak lihat Datuk Najib mengambil tindakan undang undang," tegasnya lagi.

Sebelum ini media antarabangsa antaranya akhbar Perancis, Liberation mendedahkan kaitan Najib dengan Altantuya. Bagaimanapun tiada sebarang penafian dibuat.

Isu itu juga telah menyebabkan nama Altantuya diharamkan dalam ceramah-ceramah kempen pilihanraya khususnya pada Pilihanraya Kecil Bukit Gantang.

Berhubung hal sama, Mahfuz pada sidang media tadi juga turut menggesa media elektronik, khususnya Radio Televisyen Malaysia dan Media Prima menyiarkan rakaman video atau audio sebenar kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu "Ahli Umno tak masuk syurga."

Ini kerana katanya tiada sebarang rakaman sebenar disiarkan dalam berita stesyen tersebut dan hanya sekadar menunjukkan gambar Nik Aziz dan kenyataan yang ditafsir sendiri oleh wartawan mereka.

"Saya mintak RTM ataupun TV3 siarkan pertuturan, percakapan Tok Guru yang mengatakan ahli umno tak masuk syurga. Kalau betul ada, kita tengok tepat ke tak, kalau tidak mereka perlu bersedia berdepan tindakan mahkamah, kecuali mereka memohon maaf secara terbuka dan diulang-ulang dalam televisyen," ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah memohon maaf di atas kesilapan memutar belit kenyataan Nik Aziz berhubung cadangan kerajaan perpaduan yang pada waktu itu sedang hangat diperdebatkan yang disiarkan mereka pada 15 Jun 2009.

Kenyataan Nik Aziz dipetik sebagai "nasihat saya mesti didengar"sedangkan kenyataan sebenar adalah "nasihat saya tidak semestinya didengar".

Sumber berita: http://www.harakahdaily.net

Tiada ulasan: