Dahsyat! Itulah perkataan yang dapat menggambarkan situasi semasa politik di Malaysia. Kacau bilau, kucar kacir dan sedang menggelegak dengan berbagai-bagai isu baru setiap hari tambahan pula dengan adanya PRK Permatang Pasir yang akan berlangsung esok. Barang harus diingat oleh semua jentera Pakatan Rakyat(PR), UMNO sememangnya pakar dalam merancang dan mencetuskan isu, dengan bantuan media-media utama, mereka mampu memanipulasi dan memprovokasi sesuatu isu bagi memberikan gambaran yang sangat buruk kepada PR.
Walaupun boleh dikatakan hampir seratus peratus pimpinan PR yang tidak menonton dan membaca suapan berita daripada media-media utama seperti RTM, TV3, Berita Hairan dan Utusan Malaysia, namun berapa ramai dikalangan para penyokong PR yang tidak mengikutinya? Kita yakin kesemua isu yang dibangkit tidak akan sedikitpun menjejaskan hubungan antara para pimpinan PR namun apa yang dibimbangkan adalah persepsi akar umbi terhadap keutuhan PR kerana merekalah yang memberi undi kepada PR.
Sejarah telah menyimpan segala taktik keji yang digunakan oleh UMNO bagi mengekalkan kuasa di persada pemerintahan negeri dan negara. Hari ini kita dapat melihat segala taktik ini dipraktikkan semula memandangkan keadaan mereka yang ibarat 'retak menanti belah' dan 'telur dihujung tanduk'. Namun apa yang boleh diperkatakan adalah misi PR untuk menggantikan BN bukan suatu yang mudah atau boleh dikatakan 'mission impossible' kecuali dengan kehendak Allah. UMNO telah menerajui negara sejak daripada merdeka sehinggalah kehari ini. Mereka mempunyai pengaruh yang amat besar didalam hampir kesemua badan dan institusi utama negara seperti kehakiman, polis, SPR, SPRM dan sebagainya. Ini bukanlah suatu tohmahan atau sekadar persepsi, tetapi hakikat yang dapat dilihat dengan mata kasar sesiapa sahaja, sudah terang lagi bersuluh.
Lihat sahaja bagaimana perbezaan badan-badan ini bertindak dalam sesuatu kes yang melibatkan pemimpin PR dan BN. Suatu diskriminasi yang sangat jelas dan nyata, tak perlulah disebut secara panjang lebar disini kerana terlalu banyak. Semua pihak sudah jelas bagaimana mereka menjatuhkan Kerajaan PR di Perak. Mereka menggunakan SPRM untuk mewujudkan kes dan mengugut ADUN untuk berpaling tadah. Modus operandi ini cuba digunakan lagi di Selangor dan Kedah, sasaran mereka adalah negeri yang memiliki jumlah ADUN PKR dan DAP yang agak ramai. UMNO memiliki seni ugut yang amat hebat dan mampu membuatkan sesiapa sahaja untuk 'turning over' 360 darjah.
Perhatikan bagaimana seorang ADUN BN Perak yang berhijrah ke PKR boleh di 'turning over' untuk kembali kepada BN dalam masa beberapa hari sahaja dan ini menjadi satu amaran yang menakutkan mana-mana ADUN BN yang mempunyai hasrat untuk keluar dari BN.
Kenapa sasaran mereka hanya ADUN PKR dan DAP sahaja? kerana mereka mengetahui kekuatan akhlak dan jatidiri ADUN-ADUN PAS yang terikat dengan bai'ah sebelum diangkat sebagai pemimpin rakyat, ini terbukti apabila PAS berjaya mengharungi pemerintahan di Kelantan pada penggal yang lalu walaupun dengan hanya berkelebihan 2 undi. PAS bergerak sebagai sebuah gerakan Islam yang bertunjangkan dasar Al-Quran dan Sunnah, menjadi satu-satunya parti Islam didalam kancah politik negara. Dengan pemimpin yang bersilih ganti, perkembangan PAS terus menjadi igauan UMNO yang mendakwa menjadi tonggak kekuatan Melayu walaupun pada hakikatnya hanya menjahanamkan Melayu. Kalau dahulu, walaupun UMNO kehilangan undi daripada pengundi Melayu, mereka langsung tidak gusar kerana sokongan pengundi bukan Melayu kepada MCA dan MIC begitu utuh. Pada saat itulah, mereka tidak merasa bersalah untuk menarik balik bantuan kepada sekolah agama rakyat(SAR) dan diberikan kepada sekolah cina. Mereka tidak pernah menimbulkan isu 'ketuanan melayu' kerana bimbang kehilangan undi bukan Melayu.
Namun apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya, kedua 'kaki' mereka iaitu MCA dan MIC hampir lumpuh sepenuhnya malah semakin hari semakin membimbangkan UMNO. Isu 'ketuanan Melayu' dicetuskan untuk menarik semula undi dari pengundi-pengundi Melayu. Mereka tidak lagi mengharapkan undi bukan Melayu kerana hari ini hampir mustahil untuk mereka melakukannya, hanya orang Melayu sahajalah harapan UMNO untuk terus berkuasa. Dalam situasi seperti hari ini, tidak ada kelebihan bagi mana-mana komponen Pakatan Rakyat kecuali PAS, hanya PAS mempunyai kelebihan itu.
Berdasarkan kepada Pilihanraya Umum yang lalu, undi daripada kalangan pengundi Melayu tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara tetapi lonjakan undi dari pengundi bukan Melayu begitu luarbiasa. Memang PKR berjaya meraih kerusi terbanyak di Parlimen, namun umum mengetahui PKR didokong oleh kebanyakan bekas ahli-ahli BN dan umum juga mengetahui 'mereka-mereka' boleh di 'turning over' dengan sedikit habuan kebendaan, oleh itu PKR hakikatnya masih belum mempunyai kekuatan penyokong-penyokong 'totok' sepertimana UMNO dan PAS. Bagi DAP pula, mereka masih dilihat sebagai parti perjuangan komuniti Cina, tanpa sokongan PKR dan PAS adalah amat sukar untuk mereka mendapatkan undi orang Melayu.
Disinilah dikatakan bahawa PAS mempunyai kelebihan dari setiap penjuru. Kaum bukan Melayu melihat pemimpin PAS sebagai pemimpin yang bermaruah, berakhlak, bermoral dan bersih. Hasil daripada itulah maka wujudnya kelab-kelab penyokong PAS dari kalangan orang Cina dan India diseluruh Malaysia, suatu yang tidak dijangka hasil daripada pancaran akhlak kepimpinan Islam. Dari semua sudut PAS dilihat paling layak untuk menerajui PR namun oleh kerana dalam ruang lingkup demokrasi yang berpandukan kepada majoriti kerusi yang dimenangi maka PAS masih belum mampu mencorakkan PR. Oleh itu adalah penting satu jawantankuasa displin Pakatan Rakyat ditubuhkan agar sedikit sebanyak pengalaman PAS membentuk pimpinan dapat dimanafaatkan oleh PKR dan DAP. Walaupun setiap parti mempunyai jawantankuasa disiplin masing-masing, namun adalah penting untuk berkongsi dengan PAS yang telah terbukti berjaya melahirkan tokoh-tokoh pimpinan yang bermaruah dan dihormati.
PAS perlu sentiasa dihadapan dalam menangani pelbagai isu yang timbul pada masa hadapan. Apa yang dapat dilihat hari ini hanya Mursyidul Am yang berhempas pulas menyelamatkan Pakatan Rakyat menyebabkan beliau menjadi sasaran serangan UMNO dan media. Tok Guru Nik Aziz adalah sosok yang sangat istiqomah dalam perjuangan dan persahabatan. Beliau tidak akan berdiam diri untuk melihat PR digoncang oleh UMNO, baginya selagi mana laluan dakwah Islam tidak ditutup oleh mana-mana pihak maka selagi itulah ia tidak seharusnya dikhianati.
Ahad, Ogos 23, 2009
Melihat kepada situasi semasa, PAS wajar menerajui Pakatan Rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan