Isnin, Ogos 24, 2009

Tazkirah: Seorang mukmin sentiasa berbaik sangka terhadap Allah


Alhamdulillah, panjatkanlah setinggi-tinggi syukur kepada Allah kerana masih memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan Ramadhan buat kesekian kalinya sedangkan ramai dikalangan saudara, sahabat dan teman yang telah dipanggil Allah dan tidak berkesempatan untuk menikmati 'tawaran istimewa' daripada Allah ini. Segala puja dan puji hanya untuk Allah yang maha memberi, hanya manusia yang buta mata hatinya yang tidak menghargai pemberian Allah yang mahal ini iaitu Ramadhan.


Hanya ada tiga golongan muslim yang menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan perasaan yang berbeza-beza:

1. Muslim yang Mukmin, yang menyambut Ramadhan dengan penuh kesyukuran dan iltizam yang tinggi untuk mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah dan berusaha menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang telah lalu.

2. Muslim yang Munafiq, yang menyambut Ramahan dengan hati yang keluh kesah kerana memikirkan selain dari terpaksa menahan lapar dan dahaga, golongan ini juga merasakan gelisah kerana terpaksa turut sama ke masjid untuk bertarawikh dengan hati yang berat. Hanya mendengar tentang fadhilat Ramadhan dan tidak terkesan untuk mengejarnya.

3. Muslim yang Kufur, yang menyambut Ramadhan dengan penuh kebencian kerana tidak dapat makan dan minum sepertimana kebiasaan. Bagi mereka Ramadhan ini adalah satu bulan yang menyusahkan dan menyekat 'hak asasi' mereka. Golongan ini mengharungi Ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain juga.

Beruntunglah bagi golongan yang Mukmin, rugilah bagi golongan yang Munafiq dan celakalah bagi golongan yang Kufur. Janganlah sesekali berburuk sangka dengan apa yang Allah tentukan keatas kita sepertimana sangkaan golongan manusia diatas terhadap Ramadhan yang ditentukan Allah keatas umat Islam. Golongan yang Mukmin senantiasa berbaik sangka terhadap apa sahaja yang ditakdirkan Allah keatas mereka hatta musibah sekalipun. Apabila diberi nikmat, mereka akan mengucapkan 'Alhamdulillah' dan apabila ditimpakan musibah, mereka tetap juga mengucapkan 'Alhamdulillah', inilah golongan Mukmin. Namun bagi golongan yang Kufur, dengan segala nikmat yang mereka kecapi, dengan sombong mereka akan berkata "ini adalah hasil usaha mereka selama ini" dan apabila ditimpakan musibah, mereka akan mencaci dan menyumpah seranah Allah, nauzubillah. Tiada apa yang lebih layak untuk golongan ini melainkan neraka Allah.

Ingatlah bahawa Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Sekiranya kita merasakan ibu kitalah insan yang paling mengasihi kita namun sedarlah Allah mengasihi hambanya berganda-ganda lebih dari itu. Walau setinggi mana kasih seorang ibu kepada anaknya tetapi seandainya anak menderhaka kepadanya nescaya akan dihalau anak itu keluar dari rumahnya namun Allah tidak pernah menghalau hambaNya yang derhaka dari muka bumiNya ini, Allah masih tetap mengizinkan mereka untuk menghirup udaraNya dan memakan dari rezekiNya, begitulah betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.

Namun sejauh mana kita menghargai kasih sayang Allah? Sejauh mana redha kita pada setiap takdir dan ketentuanNya? Renungkan dan insafilah betapa dhaifnya diri kita disisi Allah yang maha agung. Hari ini seluruh dunia menjadi panik ditimpakan Allah dengan wabak selsema babi, negara kita turut tidak terkecuali. Sedarlah bahawa manusia tiada daya upaya untuk menyekat wabak ini, yang berkuasa hanyalah Allah yang esa. Sebahagian besar Ulama menyatakan apabila sesuatu bala yang diturunkan Allah dalam bentuk penyakit, itu adalah kerana berleluasanya maksiat zina. Hakikat ini adalah sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun. Di negara kita hari ini, zina adalah perkara biasa dikalangan umat Islam. Setakat hari ini, dianggarkan kelahiran anak-anak hasil daripada zina di Malaysia mencecah ratusan ribu, astagfirullah.

Allah menurunkan bala penyakit ini bukan sekali-kali untuk menghukum dan mendera hambanya tetapi adalah sebagai peringatan kepada hambanya agar memperbaiki dan mengubah keadaan yang mungkar kepada yang makruf. Supaya mereka yang terlibat dengan zina insaf, bertaubat dan kembali kejalan Allah, supaya ibubapa mendidik anak -anak dengan akhlak Islam agar tidak terjebak dengan zina, supaya jiran tetangga lebih cakna diantara satu sama lain, supaya kerajaan yang berkuasa menutup segala pintu-pintu zina dan melaksanakan hukum berlandaskan apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

Berbaik sangkalah kepada Allah kerana segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah adalah untuk manusia memperhambakan diri kepadaNya dan segala musibah yang ditimpakan keatas manusia adalah supaya kita berhenti dari melakukan dosa kepadaNya dan memperbetulkan jalan kita untuk menemuiNya kelak.

Masihkah kita ingat dengan bencana tsunami yang ditimpakan Allah beberapa tahun yang lalu? Adakah kita sudah melupainya? Bencana itu telah mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia, kesan yang paling besar adalah dibumi Acheh. Hari ini, rakyat Acheh dapat merasai sendiri nikmat disebalik bala tersebut. Pancaran sinar Islam kini muncul kembali dibumi Acheh setelah sekian lama dirundung kebejatan akhlak dan kemaksiatan kepada Allah. Sesungguhnya hidayah Allah itu lebih mudah meresap kedalam jiwa manusia disaat ia ditimpa musibah berbanding disaat ia diberi nikmat oleh Allah. Allah itu maha kaya dan maha luas ilmu pengetahuanNya. Berbaik sangkalah kepada Allah kerana sesungguhnya, andai kita bersangka baik dengan apa yang ditakdirkan oleh Allah nescaya ada kebaikan disebaliknya dan seandainya kita bersangka buruk kepada takdir Allah nescaya keburukanlah yang akan menanti disebaliknya.

Tiada ulasan: