Jumaat, Ogos 28, 2009

Mangsa bah Baling, Btg Kali berpindah


Beberapa buah kampung dan taman perumahan di Batang Kali, Hulu Selangor dilanda banjir kilat menyebabkan beberapa keluarga
terpaksa berpindah ke rumah saudara-mara apabila rumah mereka dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata 250 orang terlibat dalam banjir kilat itu, membabitkan 70 keluarga yang menetap di Kampung Genting Malik, Kampung Sentosa, Taman Sekolah dan Taman Seri Cahaya.

"Hujan lebat sejak tengah hari tadi menyebabkan air naik kira-kira 0.5 meter sekitar 8.20 malam ini. Air lambat surut berikutan hujan yang berterusan sehingga pukul 10.30 malam.

"Jalan utama di Kilometer 48 hanya dibuka satu laluan dan setakat ini keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Norel Azmi berkata 15 anggota keselamatan termasuk anggota polis trafik, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Batang Kali, terlibat dalam mengawal keadaan.

Sementara itu, ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim berkata pusat pemindahan sementara disediakan di Dewan Datuk Abdul
Hamid namun semua mangsa banjir membuat keputusan untuk berpindah ke rumah sanak saudara mereka.

Mohd Isa yang meninjau keadaan banjir itu menasihati penduduk supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membuat tinjauan ke kawasan itu dan bersedia menghulurkan bantuan segera untuk mangsa-mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, lebih 50 buah rumah di beberapa buah kampung di daerah ini naiki air akibat hujan lebat sejak malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir daerah berkata antara kampung yang dilanda banjir ialah Kampung Tepi Sungai, Kampung Bendang Sera Baling, Kampung Cicar Kupang, Kampung Ketemba Masjid Kuala Pegang, Kampung Gua Reban, Pekan Kupang, Kampung Raja, Kampung Landak Paya dan Kampung Kuala Balut.

Katanya, kebanyakan mangsa banjir ditempatkan di Dewan Orang Ramai Baling dan ada yang menumpang di rumah saudara mara mereka.

Beliau berkata, pihaknya masih memantau keadaan banjir dan setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu di Langkawi, sebanyak 356 mangsa dari 77 keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang sejak semalam berikutan banjir kilat akibat hujan lebat.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Langkawi, Che Ahmad Che Noor berkata, mereka dari enam kampung di Mukim Kedawang iaitu Kampung Gelam, Kampung Temoyong, Kampung Belak, Kampung Chandek Kura, Kampung Tanjung dan Kampung Berjaya.- BERNAMA

Tiada ulasan: