Rabu, September 16, 2009

Bas Sekolah 1Malaysia?


Pagi ini seperti biasa aku menaiki motosikal ke Sungai Buloh dari Putrajaya. Walaupun masih terasa dingin pagi niatku ke pejabat tetap diteruskan demi sesuap nasi untuk menyara keluaragaku.

Motosikalku terus membelah pagi ke laluan yang biasa aku lalui. Pagi masih gelap lagi namun sinar mentari sudah haus-haus kelihatan di langit hitam.


Laluan aku menuju ke persimpangan UPM dan berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan lain melintasi simpang itu. Sambil aku leka menanti lampu bertukar ke hijau tiba-tiba sebuah Bas Sekolah keluar dari arah Mines dan membelok ke UPM menarik perhatianku. Aku perhatikan seorang remaja berdiri di tangga bas tersebut lengkap beruniform serba putih, berbangsa India. “Macam aku juga!”, desisku mengingat kembali zaman remaja dulu suka bertengek ditangga bas. Aku sempat perhatikan pemandu dan penumpangnya sekali, semuanya berbangsa India. Aku mula terfikir mungkin bangsa India semuanya perkauman sehingga Bas Sekolah pun mesti berbangsa India.

Selang sebuah kereta selepas Bas Sekolah tadi aku tertarik dengan sebuah van yang tertulis “Bas Sekolah”. Seperti sebelum ini aku juga perhatikan pemandu dan penumpangnya, semuanya berbangsa Cina. Tanggapan aku sebelum ini mula goyah, bukan sahaja Bangsa India perkauman tetapi cina pun sama. Tak lama selepas itu sebuah van berwarna putih pula melintas didepanku juga menarik perhatianku kerana van tersebut juga membawa pelajar sekolah. Aku perhatikan pemandu dan penumpangnya sekali tapi kali ini semuanya berbangsa Melayu. Aku terperanjat semua tanggapan aku tadi sebenarnya salah tetapi hakikatnya rakyat malaysia ini memang perkauman. India dengan bangsanya, cina dengan bangsanya dan melayu juga dengan bangsanya.

Hati aku mula menyoal bagaimanakah Perdana Menteri kita hendak jadikan malaysia ini sebagai 1Malaysia? Bas Sekolah pun tidak boleh dijadikan Bas Sekolah 1Malaysia sedangkan pelajar sekolah adalah teras asas pembentukan negara majmuk. Seperti kata bidalan “Melentur aur biar daripada rebung”. Rupanya iklan TV petronas sempena hari kemerdekaan arahan Yasmin Ahmad mengenai percintaan Tang Hong Ming dengan pelajar melayu sebenarnya olok-olok sahaja hakikatnya kita sebenarnya hidup perkauman sejak dari bangku sekolah lagi. Sejauh manakah retorik 1Malaysia akan berjaya? Adakah seusia Islam Hadhari? -cayrol

1 ulasan:

SSS Admin berkata...

Salam Sejahtera Tuan/Puan,

Kami di Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) berterima kasih kerana memuatkan sesuatu berkenaan dengan logo SSS di artikel Tuan/Puan. Kami menganggapnya sebagai suatu tanda sokongan.

Kami berharap sudilah kiranya Tuan/Punya memaparkan logo SSS ini di laman Tuan/Puan kerana kami berharap untuk menyenaraikan laman citra Tuan/Puan di senarai e-Patriot kami.

Kami sedang mengemaskinikan senarai e-Patriot kami dan berharap Tuan/Puan dapat menghubungi kami dengan meninggalkan catatan di laman SSS (halaman e-Patriot), sekiranya Tuan/Puan memaparkan logo SSS di laman citra Tuan/Puan.


Sekian, terima kasih.

"SATU BAHASA, SATU BANGSA, SATU NEGARA"

Admin SSS