Isnin, September 14, 2009

Rejam dilaksana di Aceh


BANDA ACEH – Masyarakat Islam di wilayah autonomi Aceh yang ditangkap kerana berzina berhadapan hukuman rejam sampai mati selepas undang-undang syariah diluluskan semalam.

Undang-undang itu membenarkan hukuman sebat sehingga 100 kali dikenakan terhadap individu bujang belum berkahwin yang didapati melakukan zina.

Turut diluluskan ialah hukuman kepada peminum minuman keras, pengamal homoseks dan perjudian.

Undang-undang itu diluluskan sebulat suara di Parlimen.

“Semua pihak bersetuju secara sebulat suara untuk menjadikan rang undang-undang itu sebagai undang-undang termasuk hukuman merejam sampai mati.

“Undang-undang ini akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari dengan atau tanpa kelulusan gabenor Aceh,” kata Pengerusi Speaker Khas Parlimen, Bachron M Rasyid.

Ia sekali gus menggantikan undang-undang sivil.

Jurucakap Parti Keadilan Makmur, Moharriyadia berkata, undang-undang itu merupakan langkah pencegahan untuk penduduk Aceh agar mereka tidak terlibat dengan masalah moral.

Bekas pejuang Pergerakan Aceh Merdeka yang kini menjadi Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf menentang keputusan parlimen itu dan meminta ia ditangguhkan dan dikaji semula.

“Indonesia ditubuhkan oleh kepelbagaian budaya dan fikiran. Jika Aceh menggantikan undang-undang jenayah dengan hukum syariah maka ia akan menjadi bahaya untuk Indonesia,” kata pemikir liberal Islam, Mohamad Guntur Romli.

Sebelum ini, Aceh melaksanakan hukum syariah secara terhad seperti pemakaian, solat lima waktu, puasa dan menunaikan zakat. – AFP

Tiada ulasan: