Selasa, September 15, 2009

Pasukan F1 1Malaysia sertai GP musim depan


PUTRAJAYA: Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan.


Projek itu menggabungkan teknologi Proton dan Lotus, kepakaran Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan SIC, Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia.

Dua pemandu pasukan itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.

Pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad.

Pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Mike Gascoyne yang pernah berkhidmat bersama pasukan Force India, Toyota, Renault dan Jordan pula akan bertanggungjawab selaku Pengarah Teknikal.

Malaysia mula terbabit dalam perlumbaan F1 sejak 1999 menerusi pembukaan SIC yang berjaya memasuki kalendar perlumbaan F1 dunia menerusi Grand Prix Petronas (Petronas GP) yang mana tahun depan adalah siri ke-11.

Tiada ulasan: