Selasa, September 29, 2009

Filem Bruno diharamkan di Malaysia


Filem Bruno, terbitan Universal Picture Production diharamkan penayangannya di Malaysia kerana ia didapati mengandungi adegan dan kata bual lucah.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini berkata hasil penelitian dan semakan Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati filem itu tidak melepasi etika budaya dan amalan hidup masyarakat di negara ini.

LPF mendapati filem yang dibintangi Sacha Cohen Boren itu bertemakan gay dan mengandungi adegan lucah, kata bual lucah dan turut mengetengahkan paparan shot penggunaan peralatan seks.

"Filem ini juga dengan jelas telah menyentuh sensitiviti kepercayaan dengan mempersendakan agama Kristian," kata kenyataan itu.

Pengedar filem Bruno, Golden Screen Cinemas telah dimaklumkan berhubung keputusan pengharaman itu melalui sepucuk surat bertarikh 6 Ogos lepas dan pengedar juga dimaklumkan tentang asas-asas pengharaman berserta laporan penapis filem untuk filem itu. -Bernama

Komen: Agak lama juga tidak mendengar perihal Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengharamkan sesebuah filem. Sekalung tahniah untuk LPF, namun jika antara alasan LPF ialah "filem itu tidak melepasi etika budaya dan amalan hidup masyarakat di negara ini", sepatutnya kebanyakan filem barat tidak ditayangkan dinegara ini. Begitu juga dengan beberapa filem tempatan yang mendapat suntikan cara hidup barat yang mengetengahkan perihal lesbian dan gay. Diharapkan LPF bertindak dengan lebih tegas dan berkesan bagi mengekang penularan budaya hedonisme dikalangan masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia yang semakin serius pada hari ini.

Tiada ulasan: