Tiba-tiba saya terfikir satu perkara. Barangkali kerana teringatkan Oktober tak lama lagi akan genaplah 19 tahun PAS memerintah Kelantan, dan genap 19 tahun jugalah Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan.
Bukan soal 19 tahun itu suatu tempoh yang lama atau pendek. Kalau orang tak suka, lamalah tempoh itu. Tapi kalau orang suka, 19 tahun pun tak lama.
Jadi bukan soal itu. Tetapi lumrahnya manusia, akan sampai masanya seorang pemimpin itu walau bagaimana baik pun dia (Rasulullah sendiri pun), harus bertukar ganti. Dan orang pun sudah selalu bercakap soal ini - siapakah selepas Tok Guru Nik Aziz?
Dan bila bercakap soal siapakah selepas Tok Guru Nik Aziz, bukan bermakna kita menafikan kewibawaan Timbalannya sekarang untuk mengambil alih tempat tersebut. Tidak. Lebih-lebih lagi dalam wacana seperti yang akan saya ajukan ini.
Seperti disebut awal-awal tadi - saya tiba-tiba terfikir satu perkara, iaitu sewaktu berada kira-kira 10 hari di Kelantan baru-baru ini. Beberapa kali berkesempatan hadir dalam majlis yang dihadiri Tok Guru, dan ketika membaca SMS dari pembaca yang menyatakan apresiasi terhadap kepimpinan Tok Guru, (termasuk SMS dari Madam Woo), dalam respons mereka terhadap wacana saya mengenai "masyarakat bersyukur" - saya terfikirkan perkara ini.
Tok Guru Nik Aziz memang seorang pemimpin yang diakui kewibawaannya, kebaikannya, dan keberkesanannya sebagai pemimpin Islam dalam dunia hari ini. Tempoh 19 tahun kepimpinannya di Kelantan dengan pelbagai perubahan penting yang dilakukannya, adalah bukti jelas bahawa dia adalah pemimpin Islam yang ulung pada hari ini. Kelantan bertuah mendapat seorang pemimpin seperti dia.
Maka terlintas dalam fikiran saya - mengapa orang tidak ikut dia? Satu soalan yang sangat mudah. Mengapa orang tidak ikut jadi macam dia, ikut buat macam dia, ikut hidup macam dia, ikut jadi pemimpin macam dia, ikut jadi Tok Guru macam dia?
Selama 19 tahun berada di bawah kepimpinan dan pentadbiran Nik Aziz, apakah tidak ada sesiapa di kalangan pimpinan PAS di Kelantan yang ingin berjuang dan menjadi pemimpin jemaah Islam seperti yang berjaya dilakukan oleh Nik Aziz? Tentulah ada. Tentulah ada orang yang ingin menyambung perjuangan dan kepimpinan Nik Aziz. Dan tentulah bukan seorang dua. Tentulah ada beberapa orang.
Maka soalnya - mengapa tidak ada orang yang nak ikut macam dia? Berpakaian macam dia. Tinggal dalam rumah seperti rumah dia, yang tak ada pagar, tak ada orang gaji, bersebelahan dengan masjid, dalam kawasan sekolah agama yang dijalankan oleh ahli keluarganya. Tiap waktu menjadi imam di masjid, dan khasnya solat Subuh setiap pagi, dengan tazkirah ringkas selepas solat Subuh.
Selalu menyampaikan kuliah agama, tak kira di mana dan tak kira sama ada pendengarnya ramai atau sedikit. Dan pada setiap pagi Jumaat, selama satu jam, menyampaikan kuliah tafsir al-Quran di tengah-tengah bandar ibu negeri. Ini jadual tetap yang dianggap paling penting. Menyampaikan tafsir al-Quran yang dilihat dari sudut hubungannya dengan isu-isu semasa.
Hidup serba sederhana. Suka memberi sedekah. Duit gajinya setiap bulan dipotong 45 peratus untuk sumbangan kepada parti dan kerajaan. Elaun rumah tak diambilnya, elaun keraian tak diambilnya, elaun buka puasa dan elaun hari raya juga tak diambilnya, dan macam-macam lagi.
Apakah itu semua bukan ciri-ciri yang penting sebagai faktor keberkesanan pimpinan dan pentadbiran Tok Guru Nik Aziz? Saya kata itu semua penting. Orang mungkin berhujah, misalnya, bahawa cara berpakaian itu adalah pilihan mengikut citarasa peribadi masing-masing, yang tidak memberi pengaruh kepada keberkesanan pentadbiran dan kepimpinan.
Saya tak setuju dengan hujah itu. Saya melihat ia memberi kesan besar ke atas keperibadian dan kepimpinan. Pertama, ia menunjukkan bahawa Nik Aziz menolak pengaruh Barat, hatta dalam berpakaian. Dia seolah-olah berkata: Kenapa kita mesti berpakaian cara Barat? Apa perlunya? Apa faedahnya? Dan dia membuktikan bahawa itu sama sekali tidak perlu pun.
Kita mempunyai cara (berpakaian) kita sendiri. Mari gunakan dan amalkan cara kita. Tidak ada apa kurangnya pun dari segi nilainya. Dan ia mempunyai implikasi dan kesan kepada hal-hal lain lagi. Ia turut juga menentukan dan mengatur pergerakan seharian kita. Ia menegaskan dan memperkukuhkan lagi imej seorang Tok Guru.
Jangan pandang remeh hal luaran seperti itu, dengan berhujah bahawa yang lebih penting adalah aspek dalaman diri. Aspek luaran diri juga penting, bahkan dalam situasi tertentu ia boleh menjadi lebih penting. Bukan senang mempengaruhi dan memujuk diri hingga berasa selesa dengan berpakaian seperti Tok Guru Nik Aziz itu.
Maka soalan saya - kalaulah kita mengakui bahawa peribadi dan cara serta gaya hidup Tok Guru Nik Aziz itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri kepemimpinannya yang berkualiti tinggi, kenapa tidak ada di kalangan pemimpin PAS di Kelantan yang mengikut buat sama seperti itu?
Kesederhanaannya itu, dan cara dia membawa diri yang memperlihatkan tawaduk dan ikhlasnya dia - saya perhatikan bahawa itulah yang banyak memikat orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu kepada dia, hingga orang Siam, orang Cina dan orang India pun secara ikhlas memanggil dia "Tok Guru kita".
Sekali lagi soalan cepumas di sini - mengapa contoh teladan yang ditunjukkan Tok Guru Nik Aziz itu tidak diikut dan dicontohi pemimpin-pemimpin yang berpotensi dan bakal mengganti dia sebagai Menteri Besar Kelantan?
Memang ada orang yang menjawab mengatakan setiap orang pemimpin itu mempunyai cara dan keperibadian tersendiri masing-masing. Tidak akan ada dua orang Nik Aziz. Tidak akan ada dupliketnya. Itu jawapan stereotaip yang klise, untuk mengelak daripada jawapan sebenar. Maka itu bukanlah jawapannya. Seperti Rasulullah s.a.w. yang tidak akan ada duanya dan tidak akan ada dupliketnya, tetapi Nik Aziz sering berkata bahawa dia sedaya upaya cuba memfotostat cara hidup Rasulullah s.a.w., supaya dirinya boleh dijadikan contoh ikutan oleh orang ramai.
Sekali lagi kita bertanya: Mengapa tidak ada di kalangan pimpinan di Kelantan itu yang mahu menjadikan dirinya seperti Tok Guru?
DINSMAN
Rabu, September 16, 2009
Selepas Tok Guru Nik Aziz?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan