Ahad, September 13, 2009

Bekas jurutera jaja diri di jalanan


ADELAIDE, Australia - Seorang bapa, Clint Rule yang menjadi penganggur selama lapan bulan membuat sebuah 'pejabat' di sekitar bandar ini dengan tujuan untuk menawarkan dirinya bagi mendapatkan pekerjaan, lapor sebuah akhbar semalam.


Rule yang merupakan bekas jurutera mekanikal dan berumur 39 tahun berkata, dia menjadi mangsa krisis kewangan global apabila dia kehilangan pekerjaan dengan syarikat BOC Gases pada Januari lalu.

Dia terpaksa mencari kerja selepas mendapat cahaya mata pada Februari lalu manakala isterinya tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan.

"Saya perlu melakukan usaha mencari pekerjaan dengan menggunakan cara berbeza daripada biasa kerana saya hanya dipanggil untuk menghadiri satu temu duga daripada 300 permohonan yang dibuat," katanya.

Menurut Rule, dia membuat sebuah 'pejabatnya' itu yang mempunyai meja dan poster mempromosikan dirinya.

Dia memakai sut lengkap semasa menunggu panggilan telefon bakal majikan yang mahu menggunakan khidmatnya.

Namun, tawaran paling baru yang diterimanya ialah menyodok baja kuda.

"Saya berasa gembira kerana saya pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal yang akan menyodok baja kuda," katanya. - Agensi

Tiada ulasan: