Sabtu, September 26, 2009

Bayi gergasi jadi tarikan pelancong


MEDAN - Bayi paling berat di Indonesia yang dilahirkan pada Isnin lalu kini menjadi tarikan pelancong untuk melihatnya di sebuah hospital awam di Kisaran, wilayah Sumatera Utara.

Bapanya, Hasanuddin, 50, semalam menamakan anak ketiganya itu yang seberat 8.7 kilogram sebagai Muhammad Akbar Risuddin.


Ibunya, Ani, 41, memberitahu, dia tidak menduga akan melahirkan bayi gergasi itu di Hospital Abdul Manan melalui pembedahan.

"Saya berasa gembira. Ini merupakan rahmat Tuhan dan bayi ini membawa tuah".

"Saya tak pernah terfikir saya akan melahirkan bayi yang besar seperti ini. Pada mulanya, saya menganggap akan melahirkan bayi kembar," kata Ani.

Menurutnya, bayinya itu kerap mahu makan.

"Susu saya tidak menucukupi. Kami terpaksa memberinya susu botol," kata Ani.

Doktor berkata, saiz luar biasa bayi itu kerana ibunya menghidap penyakit diabetes yang menyebabkan bayi tersebut menerima banyak glukosa dan membesar dalam rahim.

Sebelum ini dua lagi abang kepada bayi itu dilahirkan dengan berat 5.3 kilogram dan 4.5 kilogram.

Ani berkata, dia mengalami kesukaran bernafas semasa mengandungkan bayi itu.

"Apabila saya memasuki bulan kelapan, penderitaan saya bermula. Saya kerap menangis apabila hendak duduk dan berehat atau bangun kerana ia menyebabkan saya berhenti bernafas," tambahnya.

Rekod bayi terberat di Indonesia ialah 6.9 kilogram pada 2007 di pinggir Jakarta.

Bagaimanapun, Guinness World Records mencatatkan bayi paling berat pernah dilahirkan di Amerika Syarikat pada 1879 iaitu 10.4 kilogram tetapi meninggal dunia 11 jam kemudian. - AFP

Tiada ulasan: