Isnin, September 14, 2009

Memahami Emosi Marah


Marah adalah salah satu perasaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada semua manusia. Apabila kita berada dalam situasi yang negatif berkemungkinan kita akan menghadapi situasi marah.

Terutama apabila situasi yang melibatkan perasaan tidak puas hati. Selalunya kemarahan adalah respon automatik sekiranya berlaku tidak puas hati.


Pengurusan marah terpulang kepada individu masing-masing. Bagi yang tidak dapat mengawal kemarahan sudah pasti emosi tersebut akan diikuti dengan tindakan agresif sama ada dengan kata-kata kesat atau perbuatan yang mungkin akan menyakiti orang lain. Sebahagiannya boleh mengawal kemarahan dan sebahagiannya lebih suka memendam kemarahan. Tetapi dari ketiga kategori marah ini yang ketiga lebih bahaya. Memendam kemarahan selalunya berakhir menjadi dendam yang lama di lubuk hati.

Bagi orang tua-tua selalu kita dengar dari mereka bahawa marah seringkali dikaitkan dengan unsur api. Sifat api yang membakar menggambarkan bahawa apabila marah menguasai diri, tindakan tidak lagi berasaskan akal fikiran. Sukar untuk menerima kebenaran sekalipun kebenaran tersebut sudah jelas dan nyata. Orang yang marah juga muka dilihat kemerah-merahan serta urat lehernya juga tegang.

Sama ketika Sulaiman bin Shurad bersama Rasulullah s.a.w. mereka melihat dua orang lelaki sedang memaki hamun antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w melihat salah seorang daripadanya merah pada wajahnya dan besar lehernya. Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya saya mengetahui perkataan, kalau diucapkannya perkataan itu, nescaya akan hilanglah apa yang dirasakannya (marahnya). Jika diucapkannya: “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan, nescaya hilanglah marahnya”. Mereka lalu mengatakan kepada orang itu, bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Berlindunglah kepada Tuhan dari syaitan!” Orang tadi lalu berkata: “Gilakah saya!”

Dan kita maklum bahawa api selalunya kalah dengan api. Tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu, api kemarahan yang meluap-luap tidak akan dapat dihapuskan dengan air. Bahkan kehadiran air boleh memarakkan api yang sedang menyala. Maka diwaktu ini tanah menjadi unsur penting untuk memadamkan api kemarahan. Rasional atau tidak anda boleh mencubanya sendiri. Realiti dalam kebakaran hutan yang luas, pihak penyelamat akan memadamkan api dengan tanah kerana pancutan air ketika itu umpama menyemburkan minyak ke atasnya.

Begitulah juga dengan api kemarahan dalam diri. Walau bagaimanapun marah masih mampu dikawal. Islam menganjurkan kita cara untuk mengawal kemarahan. Jika anda marah dalam keadaan berdiri seeloknya anda duduk. Dan jika duduk keadaan marah anda masih tidak berubah, cubalah berbaring. Tenangkan fikiran. Jangan terus berada di tempat yang akan menimbulkan kemarahan anda. Jauhkan diri. Kawal pernafasan anda kerana orang marah pergerakan jantungnya lebih kencang. Sudah tentu anda memerlukan oksigen secukupnya untuk kembali memberikan ketenangan pada jantung anda.

Apabila sudah sejuk dan tenang sedikit, bawalah berwuduk untuk terus memberikan suhu normal kepada diri anda. Wuduk akan meneutralkan suhu kemarahan anda kerana apabila berwuduk akan mengubah pemikiran anda untuk mengingati Allah SWT. Sambil berwuduk anda perlahan-perlahan mengalihkan perhatian kepada Allah. Lebih baik apabila selepas berwuduk anda dapat menunaikan solat sunat dua rakaat untuk terus mengalihkan perhatian dari terus mengingati kemarahan.

Apabila semuanya telah normal barulah mula memikirkan punca dan sebab mengapa wujud kemarahan dalam diri anda. Andai kemarahan itu berpunca dari diri anda, terimalah situasi itu dan mohon maaf kepada mereka yang terlibat. Punca dan sebab kemarahan perlukan waktu yang sesuai dan normal untuk anda berfikir. Jadi jangan cuba memikirkan punca ketika anda sedang marah kerana ketika itu anda hanya akan terus meletakkan persepsi buruk pada orang lain.

Tiada ulasan: